KUALA LUMPUR 24 Dis – Tanco Holdings Bhd memeterai perjanjian usaha sama dengan sebuah firma pembinaan disokong firm China bagi membida projek gudang logistik dan pembinaan stor mega.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Tanco berkata perjanjian itu dimeterai melalui anak syarikat milik penuhnya, Tanco Builders Sdn Bhd (TBSB) bersama CNECC Engineering (Malaysia) Sdn Bhd (CEMSB), yang terlibat dalam pembinaan bangunan dan pengurusan projek.
CEMSB merupakan syarikat tempatan kepada China Nuclear Industry HuaXing Construction Company Ltd yang bertindak sebagai syarikat induk muktamadnya.
Menurut Tanco, kerjasama tersebut bertujuan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran kedua-dua pihak dalam membida serta melaksanakan projek berskala besar khususnya dalam segmen gudang logistik dan kemudahan penyimpanan berskala mega.
Di bawah perjanjian itu, TBSB akan menumpukan kepada rundingan kontrak, pengurusan projek dan penyelarasan tempatan manakala CEMSB akan menyumbang kepakaran teknikal termasuk kejuruteraan nilai, perolehan, pembinaan dan operasi selain menyediakan jaminan korporat bagi memastikan penyiapan projek.
Kedua-dua pihak juga akan berbincang dan memutuskan pemilihan projek, nilai kontrak serta pembahagian kos, hasil dan keuntungan.
Walau bagaimanapun, TBSB dan CEMSB akan mengekalkan autonomi dalam membuat keputusan masing-masing, dengan TBSB bertanggungjawab utama untuk memenuhi obligasi kontrak dengan pemilik projek.
Tanco berkata usaha sama ini dijangka menyokong strategi kumpulan untuk memperluas portfolio pembinaannya di Malaysia dengan memanfaatkan rangkaian serta kepakaran rakan strategik yang berpengalaman, di samping mempelbagaikan jenis projek yang diceburi pada masa hadapan. - DagangNews.com








