KUALA LUMPUR 31 Julai – Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan Standard Chartered Saadiq Bhd mengumumkan pelantikan tokoh korporat berpengalaman, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengerusi baharu kedua-dua entiti berkuat kuasa 2 Ogos ini.
Beliau akan menggantikan Datuk Yvonne Chia yang akan berundur daripada jawatan tersebut pada 1 Ogos setelah berkhidmat selama sembilan tahun.
Shahril Ridza adalah Pengerusi Axiata Group Bhd, Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd, Ekuiti Nasional Bhd, Battersea Project Holding Company Ltd dan Paradigm REIT Management Sdn Bhd.
Beliau juga menganggotai lembaga pengarah CGS International Securities Malaysia dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.
Sebelum ini, Shahril Ridza pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien berkata, pelantikan itu merupakan satu langkah strategik memandangkan latar belakang beliau yang luas dalam sektor korporat dan GLC.
“Beliau akan memfokuskan hala tuju strategik terhadap pengurusan komersial, prestasi perniagaan dan pertumbuhan jangka panjang kedua-dua bank konvensional dan Islam.
“Kami yakin pengalaman luas beliau dalam memacu entiti besar akan memperkukuh ketahanan dan strategi pertumbuhan kedua-dua SCBMB dan Saadiq, serta mewujudkan nilai jangka panjang buat pemegang saham dan pelanggan,” katanya.
Joon Nien turut merakamkan penghargaan kepada Yvonne atas kepimpinan berkesan yang ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatannya, terutamanya ketika menghadapi pelbagai cabaran seperti pandemik global dan ketidaktentuan ekonomi.
“Beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas bank dalam bidang digital, keusahawanan serta kelestarian, selain terus menjadi suara penting dalam memperjuangkan pemerkasaan wanita dan keterangkuman kewangan,” katanya. - DagangNews.com








