TAIPING 18 Julai - Taman tema Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini masih beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas walaupun paras air di Tasik Bukit Merah menyusut.
Paras air di Tasik Bukit Merah kini menyusut sejauh 139 meter (m) dari tebing resort BMLR dengan bacaan semasa mencatatkan paras 6.32m.
Pengurus Resort Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), M. Danesh berkata, hanya aktiviti rekreasi air di tasik tersebut terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Menurut beliau, musim kemarau dan cuaca panas menyebabkan penyusutan air di Tasik Bukit Merah dan ia berlaku setiap tahun.


“Ini bukan perkara baharu, malah pihak pengurusan BMLR telah bersedia dengan langkah-langkah sewajarnya setiap kali musim kemarau.
“Disebabkan paras air tasik susut maka kita hentikan sementara aktiviti berkayak, lawatan ke Pulau Orang Utan dan seumpamanya.
“Aktiviti di taman tema tidak terjejas. Operasi hotel dan taman teman termasuk pelbagai permainan yang ada masih dibuka seperti biasa.
“Begitu juga aktiviti merentas hutan, program bina semangat melibatkan syarikat dan agensi kerajaan serta operasi taman haiwan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut bagi menjawab kekeliruan sesetengah pihak yang beranggapan taman tema tersebut terjejas disebabkan paras air di Tasik Bukit Merah menyusut kerana musim kemarau.
Kekeliruan berlaku berikutan berita penyusutan air yang tular di media sosial sehingga ada yang menganggap kesemua operasi air BMLR ditutup sepenuhnya.
Sementara itu dalam kenyataan sama, menurut Danesh, BMLR kini menawarkan promosi Stay & Play@Laketown Hotel selama 2 hari 1 malam pada kadar RM288 untuk 2 orang.
Pakej termasuk bilik standard di Laketown Hotel, sarapan pagi, tiket masuk ke Animal Paradise dan tiket taman tema air untuk 2 orang.
“Turut ditawarkan ialah dua kali ganda keseronokan dengan tiket kombo ke taman tema air dan Animal Paradise pada harga RM39 bagi dewasa dan RM31 untuk kanak-kanak.
“Tempah pakej Stay & Win dan kombo ini boleh dibuat menerusi laman web www.bukitmerahresort.com.my,” ujarnya.- DagangNews.com








