Takaful Malaysia sumbang RM150,000 untuk Projek Braille | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful Malaysia sumbang RM150,000 untuk Projek Braille

Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob (tengah) mendengar penerangan daripada guru Sekolah Agama Princess Elizabeth, Johor Bahru di majlis penyerahan sumbangan Projek Braille oleh Takaful Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) memperkukuh peranannya sebagai institusi kewangan Islam yang prihatin dengan melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang memberi impak kepada komuniti.

 

Takaful Malaysia telah melaksanakan Projek Braille, sebuah program yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan pelajar kurang upaya penglihatan di Sekolah Agama Princess Elizabeth, Johor Bahru.

 

Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob berkata, sebanyak RM150,000 telah disumbangkan bagi menyokong pembelajaran pelajar kurang upaya penglihatan dalam mendalami serta memahami Al-Quran. 

 

“Sumbangan ini merangkumi 41 naskhah Mashaf Al-Quran Braille Malaysia 30 juzuk, 14 buah mesin Braille, sebuah Braille Embosser untuk mencetak bahan pembelajaran harian dan enam almari besi khas untuk penyimpanan mashaf,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu di Johor Bharu.

 

Majlis penyerahan peralatan pembelajaran Braille itu turut dihadiri Ketua Pegawai Pengedaran Takaful Malaysia Keluarga, Yassir Azlin; Guru Besar Sekolah Agama Princess Elizabeth, Azlifah Sadeli serta wakil dari Takaful Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru. 

 

test
Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob melihat naskhah Braille bersama guru Sekolah 
Agama Princess Elizabeth, Johor Bahru dan kakitangan Takaful Malaysia.

 

Seramai 37 pelajar berumur antara tujuh hingga 16 tahun, termasuk dua orang guru dari Sekolah Agama Princess Elizabeth menerima manfaat daripada sumbangan ini, yang dilihat berpotensi melonjakkan tahap penguasaan literasi Al-Quran serta memperluas peluang pendidikan Islam dalam kalangan pelajar kurang upaya penglihatan. 

 

Tambahnya, penguasaan Braille secara asasnya membekalkan pelajar dengan kemahiran asas yang penting untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan memasuki alam pekerjaan, sekali gus membuka jalan ke arah masa depan yang lebih baik.

 

 “Peralatan Braille yang disumbangkan bukan sekadar alat bantu pembelajaran, malah menjadi kunci kepada pembelajaran kendiri, peningkatan keyakinan diri serta asas yang kukuh untuk masa depan yang lebih inklusif.

 

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Takaful Malaysia dalam menyokong pembangunan sosial, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan memperkukuh nilai kemanusiaan.

 

“Ini selaras dengan prinsip asas takaful iaitu saling bantu-membantu. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami percaya bahawa pendidikan wajar dapat diakses oleh semua, tanpa mengira keadaan fizikal,” katanya.  

 

test
Majlis penyerahan sumbangan Projek Braille oleh Takaful Malaysia kepada Sekolah Agama Princess Elizabeth, Johor Bahru

 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Rusdi Mat Saat, alumni Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas & Sekolah Agama Princess Elizabeth yang kini bertugas sebagai kakitangan di Takaful Malaysia sejak tahun 1998. 

 

Beliau merupakan seorang individu kurang upaya penglihatan, telah membuktikan bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan. 

 

Kisah beliau menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar untuk terus percaya kepada kebolehan diri masing-masing.

 

Ismail berkata, Takaful Malaysia secara konsisten mengambil individu kurang upaya sebagai sebahagian daripada tenaga kerjanya, sekali gus mencerminkan komitmen tidak berbelah bagi syarikat terhadap kepelbagaian, keterangkuman dan kesaksamaan. 

 

“Langkah ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan sosial syarikat, malah membuktikan bahawa setiap individu memiliki potensi untuk memberikan sumbangan yang bernilai kepada organisasi dan masyarakat.

 

“Inisiatif seperti Projek Braille ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada arus pembangunan pendidikan. 

 

“Kami akan terus menyokong inisiatif yang memberi impak langsung kepada komuniti, selaras dengan aspirasi kami dalam mencorakkan masa depan yang lebih cerah dan inklusif,” katanya.

 

Jelasnya, Takaful Malaysia akan terus mempergiat usaha ke arah pembangunan komuniti melalui pelbagai program CSR, demi memupuk masyarakat yang lebih prihatin, inklusif dan sejahtera. - DagangNews.com