KUALA LUMPUR 24 Sept – Tahap literasi kewangan di Kelantan adalah yang terendah di negara ini, diikuti oleh Sabah dan Terengganu, menurut kajian yang dijalankan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengarah Wilayah Timur KWSP, Rahmat Ali berkata, kajian itu yang dijalankan pada tahun 2022 mengambil kira beberapa faktor termasuk pendedahan terhad terhadap pengurusan kewangan dan tabungan.
Beliau berkata, hasil kajian menunjukkan kadar literasi kewangan di Kelantan hanya berada pada tahap 15%, manakala Sabah 16% dan Terengganu 17%.
“Sebaliknya, Kuala Lumpur mencatat kadar literasi lebih tinggi iaitu 41%.
“Sebenarnya mereka mempunyai simpanan sendiri, namun ia disimpan di tempat yang tidak produktif, seperti di rumah atau di bank yang tidak menawarkan pulangan tinggi.
“Namun, sekiranya tahap literasi kewangan mereka lebih baik, sudah tentu mereka akan memilih instrumen simpanan yang memberi pulangan lebih tinggi seperti KWSP,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Media dan Penglibatan Pemegang Kepentingan Negeri di Kota Bharu, Kelantan.
Literasi kewangan merujuk kepada pengetahuan, kemahiran, dan keupayaan seseorang individu untuk membuat keputusan kewangan yang bijak demi mencapai kesejahteraan kewangan mereka.
Ini merangkumi pelbagai aspek seperti pengurusan simpanan, hutang, aset, perancangan kewangan untuk persaraan, dan persediaan menghadapi peristiwa tidak dijangka.

Sehubungan itu, Rahmat berkata, pihaknya giat memperkasakan usaha meningkatkan kesedaran, terutamanya dalam kalangan pekerja sendiri yang tidak membuat caruman formal melalui potongan majikan.
“Antara kemudahan yang ditawarkan ialah i-Saraan dan i-Suri.
“Melalui i-Saraan, kerajaan menyediakan insentif RM500 setiap tahun selama 10 tahun jika pencarum menyimpan RM2,500 setahun.
“Caruman ini bukan sahaja membolehkan mereka menikmati insentif dan dividen, malah memberi pelbagai manfaat lain,” katanya.
Antara manfaat tersebut termasuk pengeluaran khas untuk membeli rumah, melanjutkan pelajaran, serta simpanan kecemasan sekiranya berlaku kecacatan atau kematian.
Sehingga kini, KWSP telah merekodkan 18,385 pencarum i-Saraan, manakala 431 individu mendaftar di bawah i-Suri.
Beliau juga berharap lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan peluang itu sebagai pelaburan masa depan dan meningkatkan literasi kewangan mereka. - DagangNews.com








