Tahap kemajuan projek naik taraf Fasa 2 Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kelantan kini capai 88.95% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tahap kemajuan projek naik taraf Fasa 2 Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kelantan kini capai 88.95%

Gambar MAHB
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept – Projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Fasa 2 di Kota Bharu, Kelantan kini menunjukkan kemajuan meyakinkan dengan 88.95% siap setakat 23 Ogos 2025, melepasi sasaran asal dan lebih cepat dua hari daripada jadual.

 

Projek yang dianggarkan bernilai RM440 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia yang merangkumi pembesaran terminal, pemodenan infrastruktur serta kemudahan sokongan untuk meningkatkan kapasiti lapangan terbang kepada empat juta penumpang setahun.

 

Skop kerja yang telah diselesaikan termasuk semua komponen awalan, reka bentuk kejuruteraan, serta struktur pembinaan bagi Fasa 1 dan Fasa 2. 

 

Fasa 1 lapangan terbang tersebut telah mula beroperasi pada Mei 2024 dengan kapasiti 1.5 juta penumpang setahun.

 

 

Kelantan

 

 

Antara struktur utama yang mencatatkan kemajuan signifikan ialah Bangunan Terminal Utama, Transfer Pier, Pusat Bangunan Utiliti, Kompleks VVIP, Bangunan Parkir Bertingkat (MSCP), fasiliti Airport Fire & Rescue Service (AFRS), kawasan parkir berbumbung serta kemudahan sokongan lain.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pencapaian tahap kemajuan pembinaan itu menunjukkan kawalan kualiti yang baik dan penyelarasan tapak kerja yang efektif. 

 

“Integrasi kerja antara kontraktor utama, perunding kejuruteraan dan pihak pengurusan projek memastikan jadual kritikal dipatuhi,” katanya.

 

Sebelum ini,  kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan landasan LTSIP sebanyak 400 meter menjadikannya 2,800 meter, membolehkan operasi pesawat bersaiz besar seperti Boeing 737-Max dan Airbus 321 Neo.

 

 

parafrasa

 

 

Peningkatan kapasiti ini dijangka memberikan nilai tambah kepada operasi lapangan terbang serta menjadikan LTSIP sebagai hab penerbangan utama di Pantai Timur.

 

Projek naik taraf itu akan meningkatkan status lapangan terbang kepada tahap antarabangsa dan menyokong pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan negeri Kelantan.

 

Pembangunan terminal baharu dan kemudahan sokongan turut meningkatkan pengalaman penumpang dan kecekapan operasi, termasuk dari segi keselamatan, kemudahan parkir, dan pengurusan trafik udara.

 

Tambahnya, dengan pencapaian semasa yang melebihi jadual, pihaknya optimis projek naik taraf lapangan terbang  fasa 2 dapat disiapkan mengikut sasaran dan memberi impak positif kepada bandar Kota Bharu.

 

“Projek ini diharap dapat mengukuhkan imej Kota Bharu sebagai pusat pengangkutan udara utama di Pantai Timur Malaysia serta menarik lebih banyak pelabur dan pelancong ke negeri Kelantan,” katanya. - DagangNews.com