KUALA LUMPUR 30 Julai – TA Securities telah menurunkan penarafan saham Westports Holdings Bhd kepada ‘jual’, menjadikannya firma penyelidikan pertama daripada 18 yang mengambil pendirian negatif terhadap prospek syarikat pengendali pelabuhan utama negara itu.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun keputusan separuh pertama tahun kewangan 2025 dijangka memberangsangkan, namun terdapat risiko dagangan yang bakal melanda Malaysia, terutamanya berkaitan tarif penghantaran semula (transhipment) oleh Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberi tekanan ke atas prestasi jangka sederhana Westports.
“Kemungkinan Malaysia juga akan menerima layanan serupa seperti Vietnam, yang kini dikenakan tarif 20% bagi barangan eksport terus ke AS dan 40% ke atas aktiviti transhipment, susulan perjanjian dagangan dua hala baharu negara tersebut.
“Peluang Malaysia mencapai perjanjian perdagangan yang menguntungkan dengan AS dilihat semakin tipis dengan hanya berbaki 48 jam sebelum ia mula dikuatkuasakan 1 Ogos ini.
“Kami percaya peraturan asal (rule of origin) akan turut dikenakan ke atas eksport Malaysia, memandangkan negara ini merupakan hab transhipment utama di Selat Melaka,” menurut TA Securities dalam nota kajiannya.
Harga saham Westports, yang mengendalikan Pelabuhan Klang telah meningkat sebanyak 23% setakat tahun ini, disokong oleh sentiment positif terhadap kenaikan tarif pelabuhan dan prestasi kewangan terbaharu yang kukuh.
Kenaikan itu juga telah membawa harga sahamnya melepasi sasaran harga konsensus iaitu RM5.62.
Namun begitu, TA Securities berpandangan kenaikan harga saham tersebut telah pun mengambil kira sepenuhnya impak positif daripada pelarasan tarif, sekali gus mengehadkan potensi peningkatan harga selanjutnya.
“Kami percaya pasaran telah pun mengambil kira sepenuhnya kesan positif daripada pelarasan tarif pelabuhan,” katanya.
Kerajaan sebelum ini meluluskan pelaksanaan struktur tarif baharu secara berfasa bermula 15 Julai 2025 hingga Januari 2027.
Di bawah struktur baharu itu, caj pengendalian kontena akan meningkat sehingga 30%, manakala caj perkhidmatan konvensional dan marin pula naik sehingga 15%. - DagangNews.com








