TA Securities menilai harga saham Cuckoo Malaysia yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada RM1.31 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities menilai harga saham Cuckoo Malaysia yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama pada RM1.31

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 April - TA Securities memberikan nilai wajar kepada Cuckoo International (MAL) Bhd (Cuckoo Malaysia) pada RM1.31 sesaham.

 

Penilaian tanpa penarafan itu adalah lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.29 sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 30 April 2025.

 

"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 14.8x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY24.

 

"Penilaian itu adalah wajar, memandangkan rakan setara Cuckoo di Malaysia adalah milik persendirian. Oleh itu, kami memperuntukkan nilai saksama sebanyak RM1.31 sesaham," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sehingga Februari 2025, Cuckoo memegang kira-kira 19.6% bahagian pasaran dalam industri penyewaan Malaysia untuk peralatan rumah dan barangan rumah.

 

Cuckoo merupakan pengedar tunggal dan eksklusif produk berjenama Cuckoo di Malaysia, Singapura, dan Brunei.

 

Kumpulan itu menawarkan kedua-dua penyewaan dan jualan langsung peralatan rumah dan barangan rumah di bawah jenama Cuckoo, serta mengedarkan produk penjagaan kulit dan makanan berkhasiat melalui jenama WonderLab dan WonderDewi, serta menyediakan perkhidmatan penjagaan rumah di bawah jenama WonderKlean.

 

Berikutan keputusannya menghentikan jualan langsung pada FY23, kumpulan itu beralih kepada model pengedaran pelbagai saluran, membolehkannya memasarkan produk melalui platform e-dagang dalam talian dan kedai runcit.

 

TA Securities berkata, penyelidikan pasaran bebas oleh Frost & Sullivan menunjukkan dari 2019 hingga 2022, purata perbelanjaan isi rumah bulanan meningkat pada CAGR sebanyak 3.8%, dengan perbelanjaan untuk perabot dan peralatan isi rumah meningkat pada CAGR sebanyak 6.6%.

 

"Pertumbuhan ekonomi diunjurkan mencecah 4.4% pada 2024, didorong oleh inisiatif kerajaan, dengan CAGR lima tahun sebanyak 4.2% bermula dari 2023. 

 

"Memandangkan unjuran ekonomi yang bertambah baik dan arah aliran menaik dalam perbelanjaan isi rumah, kami menjangkakan potensi peningkatan dalam permintaan dalam industri penyewaan untuk perkakas rumah dan barangan rumah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 143.3 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 222.1 juta saham sedia ada, pada harga runcit RM1.29 sesaham, atau harga IPO institusi, yang mana lebih rendah.

 

Daripada 143.3 juta saham baharu, 28.7 juta akan ditawarkan kepada orang ramai Malaysia, 14.3 juta kepada orang yang layak, dan 100.3 juta kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

Secara keseluruhan, tawaran saham ini mewakili 25.5% daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan.

 

RHB Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama tunggal, penyelaras global bersama, penyusun buku bersama, pengurus penjamin bersama dan penjamin bersama untuk IPO tersebut.

 

AmInvestment Bank Bhd juga bertindak sebagai penyelaras global bersama, penyusun buku bersama,dan penjamin bersama.- DagangNews.com