TA Research kekal berhati-hati terhadap Kim Loong berikutan risiko harga minyak sawit, bekalan soya dari AS–China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Research kekal berhati-hati terhadap Kim Loong berikutan risiko harga minyak sawit, bekalan soya dari AS–China

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis – TA Research mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap saham Kim Loong Resources Berhad meskipun prestasi suku ketiga FY26 menunjukkan keputusan yang lebih baik daripada jangkaan.

 

Menurut TA Research, risiko terhadap harga minyak sawit mentah (MSM) masih tinggi kerana bekalan kacang soya dari Amerika Selatan yang banyak serta penyambungan semula perdagangan AS–China dijangka meningkatkan aliran minyak soya, seterusnya menekan permintaan MSM.

 

“Walaupun begitu, prestasi kewangan Kim Loong kekal kukuh. Unjuran pendapatan FY26 dan FY27 telah disemak semula ke atas masing-masing sebanyak 6.2% dan 6.6%, disokong oleh pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih baik dan kos pembiayaan yang lebih tinggi. 

 

“Pihak pengurusan telah menyemak semula unjuran pertumbuhan pengeluaran FFB FY26 kepada 6-8% daripada panduan awal 5-10%, mengambil kira profil umur pokok sawit muda yang lebih baik dan program penanaman semula yang sedang dijalankan.

 

“Kumpulan merancang menanam semula kira-kira 300–500 hektar pada FY26 dan menjangkakan mencapai jumlah pemprosesan sebanyak 1.6 juta tan FFB,”kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Untung bersih Kim Loong menyusut 12% kepada RM43.88 juta  pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2025 (3QFY2026) berbanding RM49.96 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Syarikat perladangan kelapa sawit itu berkata keuntungan bersihnya terjejas disebabkan kos pembaikan dan penyelenggaraan operasi kilang sawit yang lebih tinggi.

 

Namun hasil Kumpulan meningkat 5% kepada RM469.03 juta berbanding RM446.38 juta pada suku tersebut didorong oleh harga jualan buah tandan segar dan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi selain pertumbuhan sederhana dalam pengeluaran FFB bagi tempoh kumulatif.

 

Dalam pada itu, TA Research juga menekankan bahawa faktor positif seperti permintaan biodiesel yang meningkat serta potensi gangguan bekalan akibat cuaca boleh menjadi pemangkin bagi kenaikan harga MSM.

 

Ia membantu mengurangkan risiko penurunan daripada faktor perdagangan dan ketidakpastian dasar.

 

Sehubungan itu, TA Research menaikkan cadangan saham Kim Loong kepada Pegang daripada Jual sebelum ini.

 

Firma tersebut turut menaikkan sasaran harga baharu iaitu RM2.47 berbanding RM2.31 sebelum ini, berdasarkan PE CY26 sebanyak 15 kali dan susulan semakan pendapatan. - DagangNews.com