T7 Global terima pesanan kerja penutupan, pengurusan projek Telaga Zuhal East daripada PETRONAS Carigali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global terima pesanan kerja penutupan, pengurusan projek Telaga Zuhal East daripada PETRONAS Carigali

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jan – T7 Global Berhad menerima anugerah pesanan kerja daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd bagi menjalankan kerja penutupan dan penamatan telaga minyak (plug and abandonment) serta menyediakan pasukan pengurusan projek untuk Telaga Zuhal East.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia T7 Global berkata pesanan kerja tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd.

 

 

 

 

 

 

 

Projek itu adalah susulan  pengumuman syarikat pada 18 Disember 2024 berkaitan pelantikan 
T7 Global sebagai kontraktor panel di seluruh Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan lengkap bagi telaga minyak, termasuk membaiki telaga, menjalankan kerja intervensi dan menutup telaga, bagi pihak kontraktor petroleum.

 

Tempoh kontrak bermula dari 17 November 2025 hingga 31 Mac 2026.

 

Menurut T7 Global, antara faktor risiko yang boleh mempengaruhi pelaksanaan projek termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir, peralatan dan keperluan kawal selia.

 

Bagaimanapun, syarikat yakin risiko berkenaan dapat dikurangkan berikutan rekod prestasi dan kepakaran yang dimiliki oleh Tanjung Offshore dalam melaksanakan projek seumpama itu.

 

Dari segi kewangan, perintah kerja tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Lembaga Pengarah T7 Global menjangkakan projek itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya sehingga tamat tempoh kontrak.

 

 

 

 

 

 

 

Syarikat turut memaklumkan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama, termasuk individu yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam anugerah kerja tersebut.

 

Lembaga Pengarah, setelah meneliti semua aspek berkaitan, berpandangan bahawa penerimaan perintah kerja itu adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com