KUALA LUMPUR 18 Julai – Systech Berhad, peneraju transformasi digital dan penyelesaian teknologi mengumumkan pelantikan Datuk Jonathan Lim Ying Ran dan Dr. Wilson Low Min Yew sebagai Pengarah Eksekutif syarikat berkuat kuasa 10 Julai 2025.
Pelantikan itu mencerminkan komitmen Systech dalam memperkukuh kepimpinan lembaga pengarah dan permulaannya dalam meneroka pasaran serantau berteraskan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital secara mendalam.
Systech berkata, Jonathan Lim Ying Ran ialah usahawan dan pakar strategi teknologi dengan lebih 17 tahun pengalaman profesional dalam bidang telekomunikasi, kejuruteraan perisian, teknologi keselamatan awam dan inovasi perniagaan.
“Beliau memulakan kerjayanya di Ericsson (Malaysia), kemudian menyertai Jinny Software Ltd (kini anak syarikat Enghouse Systems), memimpin operasi sokongan teknikal untuk pelanggan telekomunikasi di rantau Asia Pasifik.
“Pada tahun 2007, beliau mengasaskan Kumpulan MMG yang pada mulanya memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi iOS, sebelum berkembang ke dalam e-dagang, penyelesaian mudah alih dan perkhidmatan digital merentas pelbagai industri.
“Antara pencapaian utamanya ialah pembangunan sistem kecemasan mudah alih kebangsaan yang dijalankan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah meningkatkan kecekapan respons keselamatan awam,” kata Systech dalam satu kenyataan hari ini.
Inisiatif ini mencerminkan dedikasi beliau dalam menggunakan teknologi untuk menyelesaikan masalah sebenar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Selain sumbangan dalam bidang perniagaan, beliau turut aktif dalam hal ehwal awam sejak 2018, beliau telah dilantik sebagai Mejar Kehormat (PA) dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau juga ialah pengasas dan pengerusi Yayasan Possible yang ditubuhkan pada tahun 2024.Ia memberi tumpuan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan bencana dan kebajikan komuniti.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Asia Metropolitan University serta Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Sains Pengkomputeran dari Staffordshire University dan memegang secara langsung 4,980,000 unit saham biasa Systech.
Mengulas mengenai pelantikannya, beliau berkata Systech kini berada pada tahap perkembangan yang penting dan amat berbesar hati menyertai syarikat pada masa ini.
“Saya percaya bahawa teknologi mampu membawa perubahan sebenar kepada perniagaan dan masyarakat, dan saya bersemangat untuk bekerjasama dengan pasukan dalam membangunkan penyelesaian yang inovatif, inklusif dan berimpak tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Systech berkata, Dr. Wilson pula adalah pakar transformasi digital dan usahawan teknologi dengan lebih 15 tahun pengalaman dalam strategi kepakaran ICT, pengurusan projek, operasi rentas negara serta pembangunan perisian perusahaan.
Beliau ialah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Systech Digital Solutions Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Wilstech Sdn. Bhd.), anak syarikat utama di bawah Systech yang memainkan peranan penting dalam memperkasa keupayaan digital dan teknologi kumpulan.
Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 2010 di syarikat permainan dalam talian Cubinet Interactive Sdn. Bhd., dan dilantik sebagai Pengurus Operasi Serantau, menerajui pelbagai projek teknologi di Asia Tenggara.
Pada tahun 2016, Dr. Wilson Low menubuhkan Wilstech IT Smart Solutions, yang pada awalnya membekalkan perkakasan IT kepada agensi kerajaan.
Menyedari potensi pasaran, beliau menstruktur semula syarikat pada tahun 2018 menjadi sebuah syarikat penyelesaian digital menyeluruh, yang kemudiannya diambil alih oleh Systech. Langkah ini melonjakkan lagi keupayaan AI dan teknologi perusahaan kumpulan.
Dr. Wilson telah mengetuai pelbagai projek transformasi digital, merangkumi sistem ERP, CRM, keselamatan siber dan integrasi AI.
Pelanggan syarikat beliau terdiri daripada syarikat pemula, PKS sehingga ke syarikat multinasional. Beliau juga telah berjaya menjalin kerjasama dengan platform antarabangsa seperti Deskera dan HReasily.
Beliau memiliki Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari Wilmington Metropolitan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Asia Metropolitan University memegang secara tidak langsung sebanyak 26,872,900 unit saham biasa Systech.
Mengulas mengenai pelantikannya, beliau berkata, masa depan dunia digital, AI dan data menawarkan peluang yang sangat luas dan bertekad terus memacu nilai tambah bagi pelanggan, pemegang saham dan komuniti menerusi peranan baharu ini. - DagangNews.com








