JOHOR BAHRU 23 Sept - Pengeluar bahan kimia global, Synthomer akan membuat pelaburan baharu bernilai RM200 juta di Johor bagi mengukuhkan peranannya sebagai antara rakan pelaburan strategik negeri itu sejak sekian lama.
Komitmen baharu itu memberi fokus kepada teknologi hijau, monomer mampan, tenaga boleh diperbaharui (RE) serta pembangunan produk generasi baharu.
Pelaburan terbaharu itu merupakan tambahan kepada pelaburan lebih RM1 bilion kumpulan itu di Johor dalam tempoh lebih dua dekad.
Synthomer mengumumkan pelaburan terbaharu itu dalam satu mesyuarat di London pada 19 September 2025.
Syarikat itu telah beroperasi di Johor selama lebih 100 tahun, dengan kemudahan utama di Pasir Gudang dan Kluang, serta Pusat Inovasi Asia di Kulai.
Kumpulan itu kini menggaji hampir 400 pekerja, termasuk lebih 300 orang yang menerima gaji minimum RM3,000 sebulan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, negeri Johor kekal komited menyokong rakan kongsi jangka panjang walaupun sedang giat menarik pelaburan baharu melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Synthomer membuktikan kerjasama jangka panjang membawa manfaat besar kepada Johor.
“Pelan pengembangan mereka di Kluang dan Kulai akan mengukuhkan kedudukan Johor dalam bidang kimia mampan serta membuka peluang kepada bakat tempatan dalam polimer, tenaga hijau dan inovasi digital,” katanya.
Beliau menambah, langkah itu akan mengukuhkan kredibiliti Johor sebagai peneraju serantau dalam kimia mampan, selain meletakkan negeri itu sebagai hab teknologi dan inovasi bertaraf dunia.
Kerajaan negeri juga akan menyokong rancangan Synthomer untuk membangunkan Kluang sebagai hab perniagaan Asia Tenggara dan Kulai sebagai pusat inovasi global.- DagangNews.com








