Syed Zainal Abidin dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Wakaf Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syed Zainal Abidin dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Wakaf Selangor

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Jan – Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilantik sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berkuat kuasa 1 Januari lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 

Beliau menggantikan Datuk Ibrahim Md Yusoff yang sebelum ini memainkan peranan penting serta menyumbang idea dalam memperkukuh peranan dan hala tuju PWS.

 

Dalam satu kenyataan, PWS berkata pelantikan Syed Zainal Abidin mencerminkan komitmen berterusan institusi itu untuk memperkukuh tadbir urus wakaf di Selangor, di samping meningkatkan peranannya sebagai instrumen strategik, mampan dan berkesan dalam pembangunan sosioekonomi ummah.

 

Menurut PWS, Syed Zainal Abidin membawa pengalaman luas dalam pembangunan dan tadbir urus korporat, setelah memegang pelbagai jawatan utama sebelum ini termasuk sebagai pengarah eksekutif Perodua Auto Corporation Sdn Bhd, pengarah urusan kumpulan Proton Holdings Berhad serta pengarah urusan PETRONAS Dagangan Bhd.

 

Selain itu, beliau turut terlibat secara aktif dalam beberapa agensi dan organisasi korporat yang memberi tumpuan kepada pembangunan ummah, antaranya sebagai Pengerusi Dagang NeXchange Berhad, Pengerusi Silterra Malaysia Sdn Bhd serta ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

Dalam kenyataan sama, PWS turut merakamkan penghargaan kepada Ibrahim atas sumbangan dan usaha beliau sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai pengerusi, khususnya dalam memperkukuh struktur dan peranan PWS.

 

Syed Zainal Abidin merupakan pengerusi ketiga PWS sejak perbadanan itu ditubuhkan pada 2011. - DagangNews.com