Syarikat pembuat makanan A1 A.K. Koh bersedia disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat pembuat makanan A1 A.K. Koh bersedia disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 3 Jun – Syarikat A1 A.K. Koh Group Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan AmInvestment Bank Bhd bagi penyenaraian 50.4 juta saham baharu di Pasaran ACE Bursa Malaysia, yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia.

 

IPO tersebut melibatkan 218.4 juta saham, merangkumi 109.2 juta saham baharu dan 109.2 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan oleh pemegang saham penjual, mewakili 26% daripada modal saham diperbesarkan A1 AK Koh  840 juta unit.

 

Daripada jumlah itu, 50.4 juta saham baharu ditawarkan kepada pelabur runcit, 42 juta saham kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dengan separuh daripadanya untuk pelabur Bumiputera, dan 8.4 juta saham kepada individu layak menerusi borang merah jambu.

 

Sebanyak 58.8 juta saham baharu lagi akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Daripada 109.2 juta saham sedia ada, 105 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 4.2 juta saham ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Pengarah Urusan Bukan Bebas dan Pengasas Kumpulan, Koh Ah Kuan berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting sejak syarikat ditubuhkan 1986.

 

"Ia membuka ruang untuk kami memperluas keupayaan pengilangan dan membawa produk A1 AKK kepada lebih ramai pengguna di Malaysia dan rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selepas penyenaraian, A1 Koh Malaysia Sdn Bhd kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan 74% pegangan serta pemiliknya termasuk Koh Ah Kuan (60%), isterinya Lim Sok Huey (30%), dan empat anak mereka.

 

Ditubuhkan 1986, A1 AK Koh menghasilkan lebih 340 produk makanan dan minuman terproses seperti snek, mi segera, perasa, makanan laut dalam tin, dan minuman. 

 

Sebanyak 75% produknya dijual di bawah jenama sendiri seperti A1 AK Koh, Dragon Horse, Sky King, dan lain-lain.

 

AmInvestment Bank turut berperanan sebagai penasihat utama, penaja, dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.- DagangNews.com