Syarikat Malaysia jangka kesan Tarif Trump kekal tinggi, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat Malaysia jangka kesan Tarif Trump kekal tinggi, kata Kenanga

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 April - Kebanyakan syarikat Malaysia menjangka, Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) akan kekal dan berada pada kadar yang tinggi dalam tempoh terdekat.

 

Kenanga Investment Bank Bhd berkata, walaupun terdapat kebimbangan terhadap tekanan terhadap margin keuntungan, kesannya masih kecil dan hanya melibatkan beberapa segmen perniagaan sahaja.

 

Penilaian itu dibuat selepas Kenanga menjalankan semakan terhadap syarikat-syarikat yang mempunyai pendedahan pasaran serantau, terutamanya yang memperoleh pendapatan dari AS. 

 

Syarikat-syarikat berkenaan terlibat dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan, teknologi, pengeluaran sarung tangan, serta plastik dan pembungkusan.

 

Menurut Kenanga, sektor minyak dan gas dilihat paling terkesan akibat tarif tinggi, manakala beberapa syarikat pengguna pula mungkin mendapat manfaat kerana peningkatan kuasa tawar-menawar dalam mendapatkan barangan dari China.

 

"Walaupun sampel kami kecil, ia merangkumi 19 syarikat yang mewakili pelbagai sektor utama yang kami pantau," jelasnya dalam satu laporan kajian.

 

Tambahnya, syarikat-syarikat tersebut dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu sektor teknologi, pembuatan (termasuk sarung tangan) dan lain-lain termasuk automotif, plastik dan minyak dan gas.

 

Presiden AS, Donald Trump pada 2 April 2025, mengumumkan tarif balas yang tinggi terhadap pelbagai negara, termasuk Malaysia yang dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.

 

Bagaimanapun, selepas berlaku kejatuhan dalam pasaran kewangan, beliau mengumumkan penangguhan pelaksanaan selama 90 hari kepada semua negara kecuali China, yang dikenakan tarif 145 peratus atas alasan 'kurang hormat'. 

 

China membalas dengan tarif 125 peratus terhadap barangan AS.

 

Menurut laporan Kenanga, terdapat peningkatan dalam pertanyaan pelanggan terutama dalam kalangan syarikat teknologi dan pengeluar sarung tangan, walaupun dalam sentimen pasaran yang lemah, menunjukkan ada peluang baharu muncul.

 

Jelas Kenanga, sektor domestik seperti telekomunikasi, utiliti dan penjagaan kesihatan pula dilihat kurang terkesan dengan risiko tarif tersebut. 

 

Bagi sektor yang lebih sensitif kepada perubahan ekonomi seperti perbankan dan pembinaan, Kenanga tetap yakin dan mengekalkan unjuran 'overweight'.

 

"Antara sektor yang menunjukkan potensi ialah teknologi, khususnya syarikat dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), kerana gabungan kos operasi yang kompetitif dan kadar tarif Malaysia yang lebih rendah menjadikan mereka pilihan bagi kapasiti pengeluaran tambahan," ujarnya.

 

Sebaliknya, beberapa syarikat dalam sektor plastik dan pembungkusan melaporkan penurunan dalam pertanyaan perniagaan tahun ini.

 

Walaupun tarif 24 peratus agak tinggi dan mula berkuat kuasa 9 April 2025, Kenanga percaya kedudukan Malaysia masih baik berbanding negara lain yang dikenakan tarif lebih tinggi seperti Vietnam (46%) dan Thailand (36%). 

 

Hanya 15 peratus syarikat yang ditemu bual menjangka perniagaan mereka akan terjejas secara langsung dari segi daya saing.

 

Antara risiko margin keuntungan yang dikenal pasti termasuk jika pembeli di AS meminta pengeksport Malaysia menyerap sebahagian kos tarif import, atau jika pembeli AS menangguhkan pesanan kerana menunggu kemungkinan kadar tarif diturunkan.

 

Namun, syarikat dalam kategori sarung tangan dan pembuatan tidak terlalu bimbang terhadap isu margin.

 

Kenanga berkata, kebanyakan syarikat kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan.

 

"Setakat ini, belum ada syarikat yang memindahkan operasi pengeluaran ke negara lain, tetapi beberapa firma sudah mula meneroka pasaran baharu termasuk China, bagi menggantikan permintaan yang sebelum ini datang dari AS," katanya.

 

Tambahnya lagi, walaupun Filipina menikmati tarif balas yang lebih rendah iaitu 17 peratus, Malaysia masih menjadi pilihan atas faktor seperti kestabilan dan kurang risiko bencana alam. - DagangNews.com