KUALA LUMPUR 13 Okt – Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) berjaya membuka akses pembiayaan hampir RM100 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menjamin sehingga 80 peratus risiko yang enggan ditanggung oleh institusi kewangan.
Dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), SJPP mengurus dan mentadbir pelbagai skim jaminan kerajaan bagi merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi PKS, terutamanya bagi syarikat yang kekurangan cagaran atau rekod prestasi kukuh untuk mendapatkan pinjaman bank.
Menurut SJPP, pihaknya tidak memberi pinjaman secara langsung, sebaliknya berperanan memberi keyakinan kepada bank untuk meluluskan pembiayaan dengan menjamin sebahagian daripada risiko yang terlibat.
“Mekanisme mudah ini telah memudah cara pembiayaan bernilai berbilion ringgit sejak tahun 2009, memberi manfaat kepada lebih 100,000 PKS di seluruh negara.
“Ia memacu pertumbuhan perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong aspirasi Malaysia menuju ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Februari lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan peruntukan jaminan kerajaan bernilai RM20 bilion melalui SJPP bagi pembiayaan kepada PKS.
Dana itu memberi tumpuan kepada sektor-sektor strategik seperti halal, teknologi tinggi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta pelancongan.
Daripada jumlah itu, RM5 bilion dikhaskan khusus untuk perniagaan Bumiputera bagi memastikan pertumbuhan yang lebih adil dan saksama.
Model jaminan ini turut mencontohi amalan terbaik di negara-negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun, di mana skim jaminan yang disokong kerajaan memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor PKS.
SJPP memainkan peranan ini dengan bekerjasama dengan Institusi Kewangan (FIs) yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dengan pengawasan daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi memupuk ekosistem SME yang berkembang maju.
“Dengan jaminan SJPP, PKS Malaysia terus berkembang maju, membuktikan di sebalik setiap kejayaan perniagaan, ada sokongan kerajaan melalui pelbagai skim jaminan,” katanya. - DagangNews.com








