KUALA LUMPUR 8 Ogos – Syarikat berpangkalan di Samoa, PWK Co Ltd, muncul sebagai pemegang saham utama dalam DFCity Group Bhd selepas memperoleh 14.35 juta saham syarikat tersebut, bersamaan dengan pegangan 13.596%.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PWK berkata, pembelian tersebut berlaku pada Isnin lalu.
Walaupun harga pembelian tidak dinyatakan secara rasmi, data pasaran luar Bloomberg menunjukkan dua blok saham, masing-masing sebanyak 12.35 juta dan dua juta unit diniagakan pada harga 60 sen sesaham, menjadikan jumlah nilai pembelian dianggarkan sekitar RM8.61 juta.
Bagaimanapun, identiti penjual saham berkenaan tidak didedahkan dalam makluman tersebut.
Setakat ini, butiran mengenai pemegang saham PWK Co Ltd juga belum dapat dipastikan dan tiada sebarang pemfailan pemilikan berkaitan dihantar kepada Bursa Malaysia setakat ini.
Berdasarkan laporan tahunan terkini DFCity, antara pemegang saham substansial syarikat itu termasuklah pengarah eksekutif Low Kim Kiat dengan pegangan 28.08% melalui syarikat Paddingtons Hospitality Sdn Bhd.
Selain itu, Pengarah Datuk Dr Li Wei pula memegang 24.82% menerusi Shi Ji Dong Fang (M) Sdn Bhd, Pengarah Eksekutif Zhang DanDan (12.88%) melalui Swooea Technology Sdn Bhd serta Datuk Low Kim Hock (5.42%). - DagangNews.com








