Syarikat bakeri Johor, HSS kumpul dana kembangkan operasi pengeluaran menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat bakeri Johor, HSS kumpul dana kembangkan operasi pengeluaran menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Syarikat bakeri berpangkalan di Johor, HSS Holdings Berhad merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk menaik taraf kemudahan pengeluarannya.

 

Menurut draf prospektusnya, tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu merangkumi terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu, mewakili 15% daripada modal saham diperbesarkan, serta tawaran untuk jualan sebanyak 52.5 juta saham sedia ada atau 10.5% pegangan saham.

 

Secara keseluruhan, IPO itu melibatkan terbitan 25.5% daripada jumlah saham kumpulan yang ditawarkan kepada pelabur.

 

Daripada jumlah terbitan awam tersebut, 25 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, manakala 10 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Daripada jumlah keseluruhan, 10 juta saham diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 30 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Selepas penyenaraian, pegangan saham utama oleh Essential Family Ventures Sdn Bhd — yang dikawal Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, See Toh Kean Yaw dan Joseph Lee Moh Hon — akan menurun kepada 14.8% daripada 23.5%.

 

Sementara itu, pegangan Pengarah Urusan Goh Chen Chang akan berkurang kepada 5.3% daripada 12.4%.

 

HSS ditubuhkan pada 11 April 2025 sebagai syarikat sendirian berhad di bawah nama HSS Holdings Sdn Bhd, sebelum ditukar status kepada syarikat awam pada September lalu.

 

Kumpulan itu memasarkan pelbagai produk bakeri termasuk biskut, kuih, kek dan snek di bawah jenamanya sendiri seperti SINAR.
 

Produk-produk itu dihasilkan melalui pengeluaran dalaman, pengilangan pihak ketiga atau diperoleh terus daripada pemilik jenama.

 

Dari segi kewangan, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat 42.8% kepada RM7.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), berbanding RM5.46 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan meningkat 21.2% kepada RM160.22 juta, berbanding RM132.23 juta dalam FY23.

 

Pendapatan kumpulan ini diperoleh dari Malaysia dan Singapura, dengan pasaran lain termasuk Indonesia, Australia dan Kemboja.- DagangNews.com