KUALA LUMPUR 19 Dis – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalin kerjasama lebih erat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti ekosistem kewangan Malaysia.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata MoU tersebut menyediakan rangka kerja yang selamat dan tersusun bagi kedua-dua agensi untuk berkongsi maklumat berkaitan, sekali gus meningkatkan keupayaan pengesanan, pencegahan dan penguatkuasaan terhadap kes pengelakan cukai, salah laku pasaran serta penyalahgunaan sistem kewangan.
Menurut beliau, kerjasama strategik itu akan mengukuhkan usaha memerangi jenayah kewangan selain meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan negara.
“Secara keseluruhan, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh usaha membanteras jenayah kewangan, malah meningkatkan keyakinan awam, menggalakkan tadbir urus yang lebih tinggi serta menyokong agenda pertumbuhan negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut hari ini.
Mohammad Faiz berkata, selain perkongsian maklumat, MoU berkenaan turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran masing-masing melalui inisiatif perkongsian pengetahuan, khususnya berkaitan undang-undang sekuriti dan kesalahan cukai.
Beliau menambah, SC dan LHDN juga boleh meneroka peluang penempatan sementara pegawai di bawah MoU tersebut bagi membolehkan pegawai memperoleh pengalaman praktikal, meningkatkan keupayaan pengendalian kes serta memahami operasi antara agensi dengan lebih mendalam.
“Dengan menggabungkan kepakaran dan pengalaman masing-masing, kami berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menangani kes jenayah kewangan yang kompleks, sekali gus mempertingkatkan kepercayaan terhadap sistem kewangan dan ekonomi secara keseluruhan,” katanya. - DagangNews.com








