Suruhanjaya Sekuriti buka permohonan program latihan investED untuk wanita kembali ke pasaran modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suruhanjaya Sekuriti buka permohonan program latihan investED untuk wanita kembali ke pasaran modal

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kini membuka permohonan untuk program latihan baharu, investED for Returning Women, yang disasarkan kepada wanita profesional yang ingin kembali ke pasaran modal selepas mengambil cuti seketika daripada kerjaya.

 

Program ini terbuka kepada wanita berumur 50 tahun ke bawah yang telah meninggalkan sektor pekerjaan sehingga 10 tahun dan kali terakhir bekerja dalam industri pasaran modal atau syarikat awam tersenarai.

 

Inisiatif ini disokong oleh beberapa rakan kongsi termasuk 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad. 

 

SC dalam satu kenyataan memaklumkan program ini sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2025 yang menekankan pertumbuhan inklusif serta kepelbagaian jantina.

 

“Kohort pertama program ini dihadkan kepada 100 peserta, terutamanya wanita dalam peringkat pengurusan pertengahan. 

 

“Program selama dua bulan ini bertujuan memperbaharui kemahiran peserta dan melengkapkan mereka dengan kecekapan yang relevan untuk kembali berjaya dalam pasaran kerja.

 

“Para peserta akan menerima bimbingan mentor, klinik kerjaya, panduan peribadi, perkongsian pandangan praktikal dan peluang rangkaian professional,” kata SC.

 

Peserta yang menamatkan program juga akan menerima insentif sebanyak RM2,000 dan sijil pengiktirafan.

 

Permohonan dibuka dari 8 hingga 31 Oktober 2025. Semua permohonan akan melalui proses pemilihan sebelum calon disenarai pendek. 

 

Pemohon boleh mengemukakan permohonan melalui laman web investED atau menghantar CV melalui pangkalan data Program Career Comeback oleh TalentCorp.

 

Program ini dibangunkan berdasarkan kejayaan Program Kepimpinan investED yang dilancarkan SC bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi pada 2023, bertujuan membangunkan generasi baharu peneraju pasaran modal di Malaysia. - DagangNews.com