KUALA LUMPUR 5 Jan – Suria Capital Holdings Bhd melantik Datuk Ahmad Rizal Dahli sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 1 Januari 2026, menggantikan Datuk Ng Kiat Min yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 31 Disember 2025.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pegangan pelaburan dan pembangunan hartanah itu berkata, Ahmad Rizal sebelum ini merupakan pengarah bukan bebas bukan eksekutif Suria Capital.
“Ahmad Rizal pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qhazanah Sabah Bhd.
“Beliau telah menjadi pengarah bukan bebas bukan eksekutif Suria Capital sejak 23 Mac 2020 dan terlibat secara aktif dalam perbincangan lembaga pengarah berkaitan hala tuju strategik serta pelaburan kumpulan,” katanya.
Menurut Suria Capital, Ahmad Rizal memiliki lebih 25 tahun pengalaman profesional dan pernah memegang jawatan kepimpinan kanan merangkumi perbankan korporat, pembiayaan projek serta pengurusan eksekutif.
“Pendedahan industri beliau meliputi sektor infrastruktur, pembangunan hartanah, maritim, minyak dan gas serta syarikat pegangan pelaburan, sekali gus memberikan perspektif menyeluruh untuk menyokong hala tuju strategik kumpulan,” tambahnya.
Pelantikan itu dijangka memperkukuh kepimpinan Suria Capital dalam memacu pertumbuhan dan pelaksanaan strategi perniagaan kumpulan pada masa hadapan. - DagangNews.com








