KUALA LUMPUR 22 Mei - Pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corp Bhd, mencatatkan kerugian bersih lebih besar sebanyak RM23.81 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025, berbanding RM686,000 pada tempoh sama tahun lalu.
Supermax berkata, kerugian itu berpunca daripada kos operasi yang meningkat dan kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM12.7 juta akibat penyusutan nilai dolar Amerika berbanding ringgit.
Ini merupakan suku ke-10 berturut-turut syarikat mencatatkan kerugian.
Walaupun menghadapi kerugian, hasil suku tahunan Supermax meningkat 42.4% kepada RM203.67 juta daripada RM143.01 juta pada suku pertama 2024.
Peningkatan tersebut disumbangkan oleh permintaan global yang lebih baik dan harga jualan purata lebih tinggi, walaupun jumlah jualan sebenarnya lebih rendah akibat stok berlebihan di Amerika Syarikat (AS) sebelum pelaksanaan tarif.
Supermax memaklumkan, pengeluar sarung tangan Malaysia kini berdepan cabaran hebat, terutamanya daripada pengeluar China yang menjual sarung tangan pada harga murah untuk menguasai pasaran global.
"Tindakan syarikat-syarikat China itu menjadikan pasaran sarung tangan global sangat mencabar bagi pengeluar Malaysia," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Pasaran AS kini dibanjiri stok sarung tangan dan lebihan berkenaan hanya akan menyusut dalam tempoh enam hingga lapan bulan.
Di peringkat domestik, pengeluar sarung tangan termasuk Supermax berdepan cabaran kos tenaga yang tinggi dan kekurangan pekerja ekoran pembekuan pengambilan pekerja asing.
Keadaan tersebut menyebabkan syarikat tempatan kurang berdaya saing berbanding pengeluar dari China, Thailand, Vietnam dan Indonesia yang mempunyai kos operasi lebih rendah.
Bagi menangani cabaran itu, Supermax memberi tumpuan kepada automasi untuk meningkatkan kecekapan, penjimatan kos operasi dan memperbaiki produktiviti.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, Supermax mencatatkan kerugian bersih lebih besar sebanyak RM93.36 juta berbanding RM47.10 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pula meningkat 34.4% kepada RM627.11 juta.
Syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku ini. - DagangNews.com







