KUALA LUMPUR 13 Mei – Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) komited mempelbagaikan dan memodenkan tawaran produknya bagi kekal berdaya saing.
Sunway REIT menyifatkan tahun kewangan 2024 (FY24) sebagai tempoh paling sibuk dari segi pengambilalihan aset, dengan nilai keseluruhan melebihi RM959.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Clement Chen Kok Peng berkata, beberapa pengambilalihan yang dilaksanakan tahun lalu telah mengukuhkan kedudukan syarikat.
"Kami terus menilai potensi pelupusan aset dan mencari peluang baharu terutama dalam sektor runcit, logistik, dan perkhidmatan.
"Walaupun kebanyakan pengambilalihan tertumpu pada segmen runcit, aset-aset ini memiliki ciri unik yang dijangka dapat mempelbagaikan sumber pendapatan dan meningkatkan ketahanan hasil syarikat.
"Jaringan pusat beli-belah yang lebih luas juga memberi kelebihan kepada kami untuk menarik jenama-jenama terbaik serta meningkatkan kehadiran pengunjung," katanya dalam laporan tahunan Sunway REIT.
Sunway REIT juga menjangkakan pemulihan kukuh dalam segmen hotel, didorong peningkatan ketibaan pelancong serta penerbangan antarabangsa.
Segmen tersebut melepasi paras pendapatan sebelum pandemik dengan tumpuan kini diberikan kepada aktiviti MICE dan kadar penghunian, terutamanya di Sunway Resort Hotel.
Segmen pejabat dijangka kekal stabil tahun ini meskipun berdepan persekitaran makro yang mencabar. Naik taraf sistem penghawa dingin, lif, dan pencawang elektrik sedang giat dijalankan bagi meningkatkan daya saing.
Pengerusi Sunway REIT, Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata, REIT tempatan mencatat pertumbuhan sihat sepanjang 2024 dengan Indeks REIT Bursa Malaysia naik 11.4%.
"Pertumbuhan ini didorong pelonggaran kadar faedah global yang mengukuhkan sentimen pelabur," katanya.
Permodalan pasaran REIT turut melonjak 17% kepada RM48.9 bilion berbanding RM41.8 bilion pada 2023, hasil pengembangan dan pengambilalihan aktif dalam segmen industri, hospitaliti, dan runcit.- DagangNews.com








