KUALA LUMPUR 8 Dis – Sunway Property mencatatkan tempahan melebihi RM1 bilion dalam tempoh tiga bulan selepas pelancaran kempen jualan nasional The BIG Deal, menunjukkan permintaan tinggi terhadap pemilikan rumah bersepadu, lestari dan mudah diakses di seluruh Malaysia.
Kempen ini merangkumi projek di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Ipoh, menunjukkan trend pembeli yang kini lebih mementingkan kesalinghubungan, kemudahan gaya hidup dan nilai jangka panjang.
Di Lembah Klang, projek seperti Sunway Flora mencatat tempahan 95% bagi unit 3 dan 4 bilik tidur, manakala Sunway Cochrane mencapai 55% tempahan semasa hujung minggu pratonton, terutamanya kerana akses terus ke perbandaran Sunway Velocity dan akses MRT yang lancar.
Pembangunan dalam ekosistem Build-Own-Operate (BOO) Sunway Property, yang menggabungkan runcit, kesihatan, pendidikan dan mobiliti, terus menjadi tumpuan utama pembeli yang mengutamakan gaya hidup bersepadu.
Pengarah Urusan Sunway Property, Chung Soo Kiong berkata, pencapaian itu menunjukkan pembeli kini semakin teliti dan mempunya nilai jangka masa panjang.
“Respon positif terhadap The BIG Deal menunjukkan keyakinan pembeli bukan sahaja terhadap produk Sunway Property, tetapi juga terhadap cara syarikat membina komuniti yang menyokong setiap generasi.
“Walaupun pasaran hartanah menghadapi tekanan ekonomi termasuk inflasi dan keadaan pinjaman berhati-hati, kadar tempahan RM1 bilion ini mencerminkan keyakinan pembeli dan daya tarikan komuniti Sunway,” katanya dalam satu kenyataan.
Di Johor, Sunway Majestic menarik pembeli rumah pertama dengan tawaran yang menggabungkan kesibukan Sunway Commercial Square dan kehijauan sekitarnya, manakala Sunway LakeHills mendapat perhatian pembeli mewah yang mencari privasi dan pemandangan tasik yang menakjubkan.
Sunway Maple Fasa 1 habis dijual dalam masa dua jam, manakala fasa kedua, Sunway Maple Plus, dijadualkan dilancarkan pertengahan 2026 dengan susun atur dan ciri yang dipertingkatkan.
Di Pulau Pinang, Sunway Dora menerima tempahan penuh, manakala Sunway Bayu di Ipoh mendapat manfaat daripada ekosistem perbandaran yang mampan, hasil sewa yang kukuh dan pembeli berulang. - DagangNews.com








