KUALA LUMPUR 18 Sept – Sunway Group mencatatkan detik bersejarah dalam usaha peluasan serantau selepas memeterai perjanjian bernilai RM2.42 bilion dengan Hongkong Land Holdings Limited untuk mengambil alih syarikat pemaju hartanah, MCL Land dari Singapura.
Perjanjian mega ini merupakan transaksi terbesar pernah dicapai Sunway setakat ini, sekali gus melonjakkan jumlah pelaburannya di Singapura kepada RM3.95 bilion sejak Julai 2025.
Langkah tersebut kata kumpulan hartanah berkenaan, juga adalah sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk memperkukuh kedudukan sebagai pemain hartanah serantau terkemuka.
Menerusi perjanjian tersebut, Sunway mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam MCL Land dan anak-anak syarikatnya, termasuk projek pembangunan kediaman yang sedang berjalan di Singapura serta portfolio aset pembangunan dan penjanaan pendapatan di Malaysia.
"Usaha ini membolehkan Sunway meningkatkan jualan belum dibil hampir tiga kali ganda di Singapura, daripada RM2 bilion kepada hampir RM6 bilion, memberikan pendapatan segera melalui projek-projek aktif MCL Land," katanya dalam kenyataan.

MCL Land, yang ditubuhkan pada 1963, merupakan antara pemaju kediaman terkemuka di Singapura dan Malaysia, terkenal dengan projek-projek kediaman berkualiti tinggi serta rekod prestasi kukuh.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group, Datin Paduka Sarena Cheah ketika mengulas perkara ini berkata, pengambilalihan tersebut merupakan perluasan kukuh kumpulan.
"Kami hadir dalam salah satu pasaran hartanah paling kompetitif di Asia dengan menggabungkan kepakaran pasaran mendalam MCL Land bersama rekod pencapaian Sunway dalam pembangunan mampan.
"Kami meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang, bukan sahaja di Singapura tetapi juga di pasaran serantau lain," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hongkong Land, Michael Smith, menyifatkan Sunway sebagai 'penjaga baharu terbaik' bagi MCL Land yang dibina selama lebih tiga dekad.
“Sunway membawa kekuatan dan kredibiliti untuk meneruskan legasi MCL Land dalam menyampaikan kediaman berkualiti kepada komuniti di Singapura dan Malaysia,” kata beliau.
Melalui perjanjian ini, Sunway memperoleh akses segera kepada lima projek pembangunan di Singapura bernilai S$2.9 bilion (kira-kira RM10 bilion) melibatkan 2,700 unit kediaman, serta tiga aset utama di Malaysia.
Ini termasuk pusat beli-belah Wangsa Walk Mall dengan kadar penghunian 99%, dan tanah pembangunan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan Forest Heights, Seremban, Negeri Sembilan.
Wangsa Walk dijangka menyumbang hasil sewa bersih (NPI) sebanyak 6.4%, disokong oleh program penambahbaikan aset dan kadar penghunian yang stabil.
Keseluruhan portfolio yang diperoleh ini dijangka memberikan sumbangan keuntungan serta-merta kepada Sunway, tanpa perlu menunggu proses tender tanah baharu atau kelulusan perancangan yang lazimnya memakan masa.
Dengan langkah strategik ini, Sunway bukan sahaja mengukuhkan kehadiran di Singapura, pasaran hartanah yang sangat berdaya saing, malah memperluas potensi pendapatan berulang dan penguasaan hartanah di Malaysia.
Ia turut memperkukuhkan lagi kedudukan kumpulan sebagai pemaju komuniti bersepadu dan mampan terulung di Asia Tenggara.
Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah, dengan kehadiran pimpinan tertinggi dari kedua-dua syarikat.
Bagaimanapun, transaksi ini masih lagi tertakluk kepada syarat-syarat penutupan standard dan dijangka selesai sebelum akhir 2025. - DagangNews.com








