Suntikan fiskal, perayaan berganda dijangka tingkatkan perbelanjaan isi rumah awal tahun 2026 - BIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suntikan fiskal, perayaan berganda dijangka tingkatkan perbelanjaan isi rumah awal tahun 2026 - BIMB Research

Gambar Unsplash.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jan – Sektor pengguna dijangka mencatat pertumbuhan stabil dan mampan pada tahun 2026 disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pasaran buruh yang stabil serta aktiviti pelancongan yang berterusan, menurut BIMB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata corak penggunaan kini semakin tertumpu kepada kategori nilai untuk wang dan keperluan asas yang dilihat sebagai pemacu prestasi utama sektor ini.

 

“Segmen makanan dan minuman dijangka kekal menjadi tonggak pendapatan defensif tahun ini, dengan permintaan stabil terhadap produk asas walaupun perbelanjaan pengguna secara keseluruhan kembali normal.

 

“Harga komoditi tertentu seperti koko, kopi robusta dan serbuk susu keseluruhan dijangka kekal tinggi, namun input lain seperti gula, gandum dan kos makanan ternakan telah stabil daripada sebelumnya,” kata BIMB Research dalam nota kajiannya.

 

Unjuran ringgit yang lebih kukuh pada purata RM4.1 pada 2026 dijangka sebahagiannya mengurangkan tekanan kos import dan menyokong kestabilan margin syarikat pengguna.

 

Segmen perbelanjaan pilihan dijangka mencatat pertumbuhan sederhana, mencerminkan persekitaran pengguna yang lebih berhati-hati, terutama selepas semakan Retail Group Malaysia terhadap pertumbuhan runcit yang diturunkan kepada 3.1% bagi baki suku tahun 2025 dan jangkaan penurunan keseluruhan jualan runcit sebanyak 1%.

 

Ketidakpastian berkaitan SST yang diperluas, khususnya bagi barangan premium import, dijangka menjejaskan permintaan perbelanjaan pilihan kelas atas.

 

Firma tersebut berkata sektor pengguna dijangka memasuki tempoh penilaian semula nilai pasaran yang signifikan pada suku pertama tahun kewangan 2026, dipacu oleh tumpuan luar biasa terhadap kecairan domestik dan permintaan bermusim.

 

“Pemangkin utama adalah suntikan fiskal kerajaan yang strategik, termasuk pembayaran Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah dan RM100 Bantuan Sumbangan Asas Rahmah pada 9 Februari yang akan menambah pendapatan boleh guna isi rumah.

 

“Gabungan dua perayaan, Tahun Baharu Cina pada 17 Februari dan permulaan Ramadan, dijangka mendorong perbelanjaan awal isi rumah terhadap barangan mewah perayaan dan keperluan asas, sekali gus meningkatkan pengedaran inventori dan pendapatan teratas bagi peniaga runcit,” katanya.

 

Ketibaan pelancong antarabangsa dijangka meningkat selepas pelancaran kempen 1 Januari dan pusat runcit di Lembah Klang dan Pulau Pinang dijangka menyaksikan peralihan kepada perbelanjaan tiket premium bermargin tinggi yang melengkapi permintaan stabil daripada pengguna domestik.

 

BIMB Research mengekalkan penarafan “overweight” terhadap sektor pengguna, berasaskan permintaan domestik yang kukuh, tahap pendapatan yang lebih tinggi dan sokongan pelancongan berterusan.

 

Syarikat yang menumpukan kepada penggunaan asas dan proposisi nilai untuk wang dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk mencatat prestasi melebihi purata, dengan pilihan utama BIMB Research termasuk MR DIY Group, disokong oleh pengembangan kedai, pengambilalihan KKV Supplier Chain Sdn Bhd dan pengurusan kos berdisiplin. - DagangNews.com