SumiSaujana susut 25% kepada 18 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SumiSaujana susut 25% kepada 18 sen sesaham pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 April - Pembuat bahan kimia khusus minyak dan gas, SumiSaujana Group Bhd membuat penampilan sulung yang mengecewakan di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila dibuka pada harga 18 sen atau 25% lebih rendah berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 24 sen sesaham.

 

SumiSaujana merupakan IPO ke-15 tahun ini, menawarkan 310 juta saham baharu dan sehingga 90 juta saham sedia ada — mewakili 27.71% daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan.

 

Pada 9.42 pagi, SumiSaujana merupakan saham paling aktif didagangkan, meningkat sehingga 18.5 sen tetapi masih 22.92% di bawah harga rujukannya. Saham itu turun sebanyak 31.25% pada awal dagangan, mencecah paras terendah pagi 16.5 sen.

 

Kumpulan itu merancang untuk menggunakan RM74.4 juta darpada IPO untuk pemerolehan pejabat korporat dan gudang di Puncak Alam dengan peruntukan RM40.2 juta manakala RM18.90 juta untuk pengambilalihan kilang Puncak Alam sedia ada, memastikan kestabilan operasi jangka panjang.

 

Sejumlah RM2.08 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal, termasuk pembelian dan pemasangan infrastruktur teknologi maklumat, dan pemasangan sistem solar fotovoltaik, sejumlah RM7.62 juta bagi penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan baharu manakala RM5.60 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif SumiSaujana, Toh Chee Seng berkata, penyenaraian itu bukan sahaja mencerminkan pencapaian kumpulan tetapi komitmen kepada kecemerlangan dan nilai inovasi jangka panjang.

 

Beliau berkata, ia juga akan mendorong SumiSaujana ke arah peluang yang lebih besar sebagai syarikat tersenarai awam.

 

"IPO ini membolehkan kami mengukuhkan infrastruktur, meningkatkan hubungan pelanggan dan meneruskan pengembangan strategik dalam pasaran antarabangsa. Kami komited untuk menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan dengan terus meningkatkan keupayaan dan mengekalkan daya saing industri kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

RHB Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO SumiSaujana.- DagangNews.com