KUALA LUMPUR 8 April - Pengeluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (O&G), SumiSaujana Group Berhad memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, bahan kimia berasaskan sawit dan bahan berasaskan bio untuk pembuatan plastik.
Perjanjian itu akan memanfaatkan teknologi yang dilesenkan oleh MPOB dalam usaha Malaysia memperluas industri produk berasaskan sawit dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran kimia hijau global.
Teknologi berkenaan dibangunkan melalui penyelidikan yang menyeluruh, termasuk bagi penghasilan tiga produk berkenaan, menawarkan ciptaan boleh diperbaharui, alternatif kepada bahan kimia berasaskan petroleum.
Sebatian tersebut digunakan secara meluas dalam penghasilan bahan plastik tahan lasak atau poliuretana, yang menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk automotif, pembinaan, pelekat, salutan dan barangan pengguna.
Pasaran poliuretana global diunjurkan mencecah RM386.82 bilion pada tahun 2024, manakala pasaran bahan perantara berasaskan sawit dianggarkan bernilai RM76.21 bilion pada tahun 2022, sekali gus menyerlahkan potensi pasaran yang besar.
Kerjasama itu mencerminkan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang lebih luas untuk meningkatkan nilai komersial minyak sawit melalui aplikasi hiliran bernilai tinggi.
Ia juga menyokong Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030 (Pikas 2030) yang mahu meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi berasaskan bio yang mampan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata, perjanjian dengan MPOB adalah langkah bermakna dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
"Kami melihat nilai yang besar dalam menyepadukan inovasi berasaskan sawit yang mampan ke dalam portfolio produk kami, membolehkan kami menembusi pasaran baharu sambil terus bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha mengkomersialkan teknologi tempatan ke peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Hotel Marriott Putrajaya, semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kerjasama tersebut bukan hanya melibatkan pemindahan teknologi, ia mengukuhkan peranan awam-swasta dalam pembangunan industri sawit yang mampan.
"Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global.
"Dengan memperluas potensi hiliran minyak sawit, kita bukan sahaja meningkatkan rantaian nilainya, tetapi juga menggalakkan peranan Malaysia dalam konsep mampan dunia," ujarnya.
Kerjasama berkenaan bukan sahaja mempercepat penggunaan komersial bahan kimia berasaskan sawit, malah memperkukuh usaha negara dalam mengubah industri ke arah kimia hijau.
Ia membuktikan potensi minyak sawit melangkaui kegunaan dalam sektor makanan dan menunjukkan bagaimana inovasi, apabila digandingkan dengan rakan industri yang betul, boleh membawa kepada penciptaan nilai ekonomi dan alam sekitar yang sebenar.
Dengan hasrat bersama dalam inovasi, kemampanan dan kemajuan negara, MPOB dan SumiSaujana bersedia untuk membawa teknologi berasaskan sawit Malaysia ke sempadan industri baharu, memastikan ia bukan sahaja digunakan di dalam negara, malah diiktiraf dan diguna pakai di peringkat global. - DagangNews.com







