Subur Tiasa rancang jual lagi aset kukuhkan kedudukan kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subur Tiasa rancang jual lagi aset kukuhkan kedudukan kewangan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 April - Subur Tiasa Holdings Bhd bercadang untuk menjual lebih banyak aset berkaitan kayu selepas berjaya melupuskan aset tidak aktif bernilai lebih RM23 juta bagi meningkatkan kecekapan modal syarikat.

 

Syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembalakan dan pemprosesan kayu itu juga menjalankan perniagaan pembuatan papan lapis, papan partikel, arang dan kayu gergaji untuk pasaran eksport. 

 

Selain itu, ia juga terlibat dalam aktiviti penanaman semula hutan di bawah lima lesen di kawasan Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri.

 

Bagaimanapun, syarikat mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM26.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

 

Subur Tiasa berkata, syarikat akan terus menumpukan usaha menstruktur semula operasi kayu untuk meningkatkan kecekapan kos. 

 

"Kami sedang menyemak dan menjual aset dan mesin yang tidak digunakan bagi memperbaiki aliran tunai dan fokus kepada segmen yang lebih menguntungkan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Setakat 31 Disember 2024, syarikat telah menjual aset tidak digunakan bernilai RM23.2 juta dan proses penjualan dijangka berterusan sehingga tahun kewangan 2025, dengan sasaran siap dalam tempoh enam hingga 18 bulan.

 

Walaupun mencatatkan kerugian, aliran keluar tunai bagi segmen kayu telah berkurang sebanyak 30% berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam laporan audit FY24, juruaudit bebas Messrs Crowe Malaysia PLT menyatakan kebimbangan terhadap keupayaan syarikat untuk terus beroperasi, memandangkan liabiliti semasa syarikat melebihi aset semasa sebanyak RM393 juta.

 

Namun, segmen perladangan sawit Subur Tiasa menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik. 

 

Pinjaman bagi perniagaan sawit berkurang kepada RM610.2 juta (FY23: RM654.4 juta), dengan sebahagian besar iaitu RM398 juta tertakluk kepada semakan tahunan.

 

Syarikat juga menjalankan perniagaan lain seperti pembuatan paip polietilena dan pusat servis kenderaan Mercedes-Benz dan Mitsubishi Fuso di Kuching.

 

Subur Tiasa yakin aliran tunai daripada perladangan sawit mencukupi untuk membayar balik semua pinjaman tetap, termasuk pinjaman berkaitan operasi kayu.

 

Segmen sawit mencatat keuntungan bersih RM2.6 juta pada FY24, berbanding kerugian RM18 juta tahun sebelumnya. 

 

Aliran tunai operasi bersih juga meningkat kepada RM74.4 juta, disokong oleh kenaikan 10% harga purata minyak sawit mentah.

 

Syarikat memiliki ladang seluas 23,505 hektar, dengan 75% pokok berada dalam usia matang antara lapan hingga 18 tahun, iaitu tempoh terbaik untuk hasil yang tinggi. 

 

Sebanyak 17% lagi terdiri daripada pokok muda berusia tiga hingga tujuh tahun, menjanjikan sumbangan positif pada masa depan.

 

Pada FY24, syarikat menghasilkan 324,657 tan tandan buah segar dengan purata hasil 17 tan sehektar, antara yang tertinggi dalam kalangan rakan industri.

 

Keuntungan sebelum cukai segmen sawit melonjak kepada RM38.1 juta (FY23: RM9 juta), dengan aliran tunai operasi bersih meningkat kepada RM86.7 juta (FY23: RM68.8 juta).

 

"Syarikat terus melaksanakan strategi bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi. Prospek industri sawit kekal positif didorong permintaan global terhadap minyak sawit mampan," katanya.

 

Syarikat turut menyimpan RM72.2 juta kemudahan kredit yang diluluskan tetapi belum digunakan, sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekalkan kecairan tunai.

 

Nisbah hutang kepada ekuiti juga menunjukkan peningkatan, turun dari 0.97 kepada 0.93 pada FY24, mencerminkan pengurusan kewangan yang lebih kukuh.

 

Pihak pengurusan yakin prestasi operasi dan keuntungan syarikat akan terus meningkat pada FY25, disokong oleh penjanaan aliran tunai yang stabil dan pengurusan modal yang berdisiplin. - DagangNews.com