KUALA LUMPUR 14 Okt - Top Glove Corporation Berhad mencatatkan kemajuan ketara dari segi daya saing apabila struktur kos serta harga jualannya hampir menyamai pengeluar sarung tangan China.
RHB Research berkata, kumpulan itu menunjukkan peningkatan ketara apabila perbezaan kos kini dianggarkan lebih rendah antara AS$1 hingga AS$3 berbanding sebelum ini.
Katanya, usaha berterusan untuk menambah baik kecekapan operasi dan mengurangkan kos bahan mentah berjaya menutup jurang daya saing dengan pesaing utama dari China.
"Dari segi kos dan harga, Top Glove kini berada pada tahap yang hampir setara dengan pengeluar China. Ini membuktikan langkah penambahbaikan mereka dalam rantaian bekalan dan kawalan kos telah membuahkan hasil," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu tidak melihat rancangan pengeluar China untuk mengembangkan operasi di luar negara sebagai ancaman besar, kerana kilang luar China lazimnya menanggung kos sekurang-kurangnya 10% lebih tinggi berbanding operasi domestik.
Katanya, Top Glove kini menikmati momentum jualan yang lebih kukuh dengan kadar penggunaan kapasiti kilang meningkat kepada 75% dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, syarikat merancang untuk mengaktifkan semula kapasiti terbiar sebanyak dua bilion keping sarung tangan menjelang separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26).
Selain itu, Top Glove menjangkakan harga bahan mentah dan gas asli akan kekal stabil dalam masa terdekat, sekali gus menyokong margin keuntungan dan pertumbuhan berterusan.
"Kami juga menaikkan unjuran keuntungan FY26-FY27 kumpulan kepada RM160 juta dan RM192 juta, mencerminkan jangkaan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi.
"Selain itu, menaikkan penarafan Top Glove kepada "neutral" berbanding "jual" dengan harga sasaran 61 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








