KUALA LUMPUR 23 Dis – Stratus Global Holdings Berhad memfailkan draf prospektus bagi penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk menyokong pelan pengembangan dan keperluan operasi.
Menurut draf prospektus diterbitkan penyedia rumusan automasi kilang itu, tawaran awam permulaan (IPO) berkenaan melibatkan terbitan saham baharu pada harga yang akan ditentukan kemudian.
Tiada tawaran jualan saham sedia ada dicadangkan, sekali gus menunjukkan pemegang saham sedia ada tidak melupuskan pegangan mereka dalam syarikat.
Stratus Global berkata, pihaknya sedang mengenal pasti hartanah bersaiz sekurang-kurangnya dua ekar di Pulau Pinang untuk dibangunkan sebagai kemudahan pengeluaran tambahan yang merangkumi kawasan produksi, pusat penyelidikan serta gudang.
Berpangkalan di Pulau Pinang, Stratus Global mengkhusus dalam sistem automasi pengendalian bahan bilik bersih terutamanya bagi industri semikonduktor.
Sistem yang dibangunkan syarikat digunakan untuk memindahkan dan menyimpan bahan kritikal seperti wafer silikon dalam persekitaran bilik bersih atau kawasan terkawal.
Ketika ini, syarikat memiliki lebih 44,000 kaki persegi ruang lantai pengeluaran di dua kilangnya di Bayan Lepas yang beroperasi hampir pada kapasiti penuh.
“Fasiliti baharu ini dijangka menyediakan ruang lantai pengeluaran tambahan bagi fabrikasi dalaman, selain pemasangan dan ujian komponen sistem automasi pengendalian bahan untuk menyokong pelbagai projek secara serentak serta memenuhi pertumbuhan buku pesanan syarikat,” menurut Stratus Global.
Selain itu, syarikat turut merancang untuk menubuhkan pejabat jualan dan sokongan kejuruteraan baharu di Jepun, Taiwan, Jerman dan Amerika Syarikat, sebagai sebahagian daripada strategi memperluaskan perniagaan antarabangsa yang kini menyumbang lebih separuh daripada hasil kumpulan.
“Seiring permintaan global terhadap semikonduktor yang terus meningkat, khususnya dengan Eropah dan Asia sebagai antara hab utama pembuatan semikonduktor dunia, syarikat menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran strategik ini,” katanya.
Baki hasil IPO akan digunakan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.
Stratus Global berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh tanpa sebarang pinjaman bank, dengan tunai dan baki bank hampir RM92 juta, selain kemudahan perbankan tidak digunakan berjumlah kira-kira RM26 juta.
Syarikat ini diasaskan pada 1998 di Amerika Syarikat oleh Ryo Narisawa, warga Jepun berusia 72 tahun yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Bagi tempoh 12 bulan berakhir Mac 2025, Stratus Global mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM66 juta hasil daripada pendapatan RM220 juta.
UOB Kay Hian bertindak sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








