KUALA LUMPUR 16 April – Strategi peluasan serantau yang agresif serta model perniagaan efektif terus mendorong lonjakan pendapatan KJTS Group Bhd, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor pengurusan tenaga penyejukan.
Dengan lebih 70% daripada hasil diperoleh daripada aliran pendapatan berulang, syarikat tersenarai di Pasaran ACE itu menawarkan ketelusan keuntungan dan daya tahan kewangan kepada pelabur.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, KJTS tampil sebagai pilihan kukuh dalam landskap pelaburan berasaskan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) didorong inisiatif penjimatan tenaga serta kebergantungan pelanggan kepada sistem pengurusan berpusat.
"Model perniagaan KJTS yang mudah disesuaikan dan boleh diguna pakai di rantau menjadikannya peneraju dalam segmen kecekapan tenaga.
"Kontrak jangka panjang dalam pengurusan tenaga penyejukan (CEMS) yang menjangkau lima hingga 20 tahun turut menyokong pertumbuhan mampan syarikat," katanya dalam satu nota kajian.
Setakat Julai 2023, KJTS mempunyai enam kontrak aktif CEMS masing-masing menyumbang sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.
Walaupun operasi utama KJTS meliputi perkhidmatan tenaga penyejukan, pembersihan dan pengurusan fasiliti, fokus strategik syarikat kini beralih kepada pemilikan aset tenaga penyejukan yang dilihat sebagai fasa perkembangan seterusnya.
Pengambilalihan Malakoff Utilities Sdn Bhd (MUSB) membolehkan KJTS memiliki aset tanpa perlu melalui konsesi, sekali gus mengukuhkan pendapatan jangka panjang.
Pertumbuhan turut didorong usaha sama 10:90 bersama Stonepeak Kelvin Holdings yang menyasarkan pelaburan bernilai RM1.5 bilion.
"Sebagai kontraktor reka bentuk, pembinaan, operasi, dan penyelenggaraan kepada usaha sama tersebut, KJTS mendapat manfaat maksimum daripada model ringan aset sambil mengekalkan aliran tunai berulang," jelas laporan itu.
Antara 2020 hingga 2024, hasil dan keuntungan bersih KJTS berkembang pada kadar CAGR 17%, manakala keuntungan bersih melonjak 30%.
Unjuran konsensus menunjukkan keuntungan bersih syarikat mencecah RM32.4 juta bagi 2025 dan RM40.8 juta pada 2026. Ini memberi nisbah harga kepada pendapatan hadapan sebanyak 21.1 kali (2025) dan 16.8 kali (2026) setanding dengan syarikat lain yang mempunyai pendapatan berulang yang stabil.
Namun, Maybank IB menekankan unjuran CAGR keuntungan bersih KJTS bagi tempoh 2024 hingga 2026 mencecah 62% iaitu jauh mengatasi purata industri sebanyak 8%.
Sumbangan hasil dari luar negara semakin meningkat dengan Singapura dan Thailand masing-masing menyumbang 19% dan 7% daripada jumlah hasil kumpulan pada 2024.
Di Singapura, KJTS menembusi pasaran menerusi pengambilalihan KJ FEM pada 2019, manakala operasi di Thailand dijalankan melalui KJTN Engineering yang dimiliki 49% dengan kontrak CEMS selama 16 tahun di Bangkok sehingga 2037.
Susulan IPO yang mengumpul RM58.9 juta, KJTS mencatat tunai bersih RM60.2 juta pada akhir Disember 2024.
Selepas pengambilalihan MUSB bernilai RM65.5 juta, syarikat hanya mencatat hutang bersih RM5.3 juta, bersamaan nisbah gear bersih 0.05 kali.
"Gabungan pertumbuhan serantau, kekuatan kewangan, dan komitmen ESG menjadikan KJTS prospek jangka panjang yang kukuh dalam sektor kecekapan tenaga," katanya.- DagangNews.com








