Steel Hawk cadang terbitan khas 70 juta saham baharu penuhi keperluan ekuiti Bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Steel Hawk cadang terbitan khas 70 juta saham baharu penuhi keperluan ekuiti Bumiputera

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Steel Hawk Berhad yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE pada September tahun lalu, mencadangkan terbitan khas sehingga 70 juta saham baharu bagi memenuhi keperluan ekuiti Bumiputera.

 

Saham baharu itu mewakili kira-kira 14.29% daripada modal saham sedia ada syarikat, atau 12.5% daripada modal saham diperbesarkan. 

 

Sehingga 3 September 2025, modal saham terbitan Steel Hawk berjumlah RM20.25 juta, terdiri daripada 490 juta saham.

 

Di bawah peraturan penyenaraian Bursa Malaysia, syarikat perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 12.5% saham mereka kepada pelabur Bumiputera dalam tempoh setahun selepas memenuhi keperluan keuntungan Pasaran Utama yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau dalam tempoh lima tahun selepas penyenaraian.

 

Steel Hawk berkata, harga terbitan ilustratif diandaikan pada 41.95 sen sesaham, yang boleh menjana hasil kasar sehingga RM29.13 juta. 

 

"Dana tersebut akan digunakan untuk modal kerja, pembayaran balik pinjaman bank, dan menampung perbelanjaan berkaitan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sejak 11 September 2024, penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas (O&G) itu memperoleh kira-kira lapan kontrak baharu dan lanjutan, termasuk daripada PETRONAS dan Petra Energy Berhad. 

 

Nilai kontrak tetap tertunggak syarikat kini berjumlah kira-kira RM100 juta, di samping 14 kontrak panggilan sedia ada tanpa nilai tetap.

 

Mengulas mengenai prospek, syarikat itu berkata, ia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan dalam industri perkhidmatan dan peralatan O&G Malaysia, meskipun berdepan cabaran seperti turun naik harga minyak mentah dan gangguan rantaian bekalan global.

 

"PETRONAS mengekalkan fokusnya terhadap usaha mengekalkan dan mengembangkan pengeluaran O&G Malaysia melalui perbelanjaan modal berterusan serta pelaburan dalam aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran. 

 

"Pelaburan industri yang berterusan ini membuka peluang kepada kumpulan untuk mengukuhkan kedudukan pasaran dalam semua segmen, iaitu huluan, pertengahan dan hiliran.

 

“Lembaga pengarah kekal fokus terhadap pelaksanaan kontrak yang diperoleh sambil meneruskan usaha pertumbuhan dalam perkhidmatan sokongan darat dan luar pesisir kumpulan bagi industri O&G. Pengiktirafan hasil progresif daripada buku pesanan sedia ada dijangka memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

 

Daripada hasil kasar, RM16.93 juta diperuntukkan untuk pembelian bahan mentah serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi, manakala kira-kira RM12 juta akan digunakan untuk membayar sebahagian daripada baki overdraf bank berjumlah RM13.04 juta.

 

Sehingga akhir Jun, jumlah pinjaman syarikat yang merangkumi pinjaman berjangka, liabiliti sewa beli, pembiayaan perdagangan dan overdraf berjumlah RM42.7 juta.

 

Cadangan terbitan khas ini dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini (4Q25) dengan UOB Kay Hian dilantik sebagai penasihat dan ejen penempatan. - DagangNews.com