KUALA LUMPUR 16 Dis – SSF Home Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih pada suku kedua berakhir 31 Oktober 2025, disokong prestasi jualan yang lebih teguh hasil inisiatif pemasaran bersasar serta penglibatan pelanggan yang berterusan.
Kumpulan tersebut berkata, ia merekodkan keuntungan bersih kira-kira RM504,000 pada 2QFY26, berbanding kerugian bersih sebanyak RM1.98 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan syarikat itu pula katanya, meningkat 9.7% kepada RM33.0 juta daripada RM30.09 juta sebelumnya, sekali gus menyokong prestasi hasil yang lebih kukuh bagi suku berkenaan.
SSF Home berkata, tumpuan kepada penawaran berpacu nilai dan kempen promosi dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung serta kadar penukaran jualan yang lebih baik.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM672,000, berbanding kerugian bersih RM735,000 pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil separuh pertama meningkat 6.2% kepada RM66.0 juta daripada RM62.1 juta, dipacu oleh prestasi jualan yang lebih baik dan kecekapan operasi yang dipertingkatkan.
Dari segi pendapatan, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku kedua meningkat kepada RM0.53 juta berbanding kerugian RM2.47 juta setahun lalu.
Secara suku ke suku, PBT meningkat 47.2% daripada RM0.36 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM0.50 juta daripada RM0.17 juta pada suku sebelumnya, mencerminkan peningkatan leveraj operasi dan kawalan kos yang lebih berdisiplin.
Pengarah Eksekutif SSF Home Group Bhd, Lok Kok Khon berkata kumpulan kekal yakin dengan kedudukan strategiknya.
“Syarikat digalakkan oleh pemulihan keuntungan dan peningkatan berterusan momentum hasil. Tindak balas positif pelanggan terhadap promosi yang disasarkan serta jejak runcit yang dioptimumkan mengesahkan hala tuju strategik pengurusan,” katanya.
Menurut beliau, SSF Home akan terus memperkukuh cadangan nilai untuk wang melalui format kedai yang diperbaharui, pengembangan outlet bersaiz tepat di pusat bandar utama, serta penambahbaikan menyeluruh terhadap pengalaman pelanggan sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula kumpulan.
SSF Home merupakan peruncit perabot, hiasan rumah dan produk kediaman yang beroperasi di seluruh negara dan kumpulan itu kekal fokus membina platform runcit nasional yang lebih berdaya tahan dalam persekitaran pengguna yang mencabar. - DagangNews.com








