KUALA LUMPUR 27 Ogos – Sri Kota Specialist Medical Centre (SKSMC) kini memiliki dewan bedah hibrid pertama di Klang yang dilengkapi sistem angiografi Philips Azurion 7 Bi-Plane sekali gus memperkukuh kedudukan hospital swasta itu sebagai peneraju inovasi dalam penjagaan kesihatan.
Dewan bedah hibrid itu mengubah konsep bilik pembedahan biasa dengan menggabungkan peralatan pembedahan dengan sistem angiografi yang lebih canggih dan tepat.
Pengarah Hospital SKSMC, Tan Suet Guan berkata, ia membolehkan doktor, pakar bedah dan pakar perubatan mendiagnosis dan merawat pesakit dalam satu bilik sama tanpa melakukan prosedur berulang atau memindahkan pesakit.
“Sistem angiografi bi-plane membolehkan dua imej definisi tinggi diambil serentak dari sudut berbeza, meningkatkan ketepatan, memendekkan tempoh pembedahan dan menjamin keselamatan pesakit dengan keadaan kompleks.
“Kewujudan dewan bedah baharu ini adalah manifestasi SKSMC untuk menyediakan penjagaan berkualiti berasaskan keprihatinan, inovasi dan kecemerlangan.
“Ia juga memastikan pesakit menerima rawatan perubatan terkini dengan layanan mesra, hormat dan penuh dedikasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran dewan bedah hibrid itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain.
Beliau turut memuji SKSMC atas inovasi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat tempatan.
“Dewan bedah hibrid ini bukan sekadar pencapaian teknologi, ia juga mencerminkan visi menjadikan Klang bandar progresif, sihat dan selesa didiami.
“Inovasi ini menandakan pencapaian penting dalam akses penjagaan kesihatan bagi komuniti Klang,” katanya.- DagangNews.com








