SPB Development tangguh pelancaran IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada tarikh yang tidak diketahui | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPB Development tangguh pelancaran IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia kepada tarikh yang tidak diketahui

KUALA LUMPUR 17 April - Syarikat pemaju hartanah, SPB Development Bhd menangguhkan pelancaran tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia ke satu tarikh yang belum ditentukan disebabkan ketidaktentuan pasaran semasa.

 

Pelancaran IPO yang pada asalnya dijadualkan pada 21 April 2025 ditangguhkan selepas penilaian teliti pihak pengurusan, menurut satu notis yang dikeluarkan hari ini.

 

Langkah itu diambil bagi memastikan kemasukan syarikat ke pasaran berlaku dalam keadaan yang menyokong penciptaan nilai jangka panjang untuk pelabur dan pemegang taruh, kata kenyataan tersebut.

 

Penangguhan itu berlaku ketika pasaran saham global berdepan ketidaktentuan yang tinggi, didorong ketegangan perdagangan antarabangsa yang semakin memuncak dan ketidakpastian dasar tarif Amerika Syarikat (AS).

 

SPB Development mengikuti jejak Cuckoo International (MAL) Bhd, yang minggu lalu mengambil keputusan untuk menangguhkan penyenaraiannya selama dua bulan. 

 

Cuckoo International telah memulakan proses pengambilan tempahan daripada pelabur dan menawarkan bayaran balik kepada pelabur yang ingin menarik diri daripada IPO tersebut.

 

Bursa Malaysia telah menyaksikan tujuh penyenaraian IPO sejak Mac 2025 dan kesemuanya kecuali satu jatuh pada hari pertama dagangan susulan kegelisahan pasaran.

 

SPB Development masih mempunyai masa sebelum kelulusan pengawalseliaan untuk penyenaraiannya tamat tempoh. Di bawah peraturan penyenaraian, sesebuah syarikat perlu menyelesaikan IPO dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan, yang telah diperoleh dan diumumkan pada Februari 2025.

 

Pemaju hartanah yang berpangkalan di Melaka itu merancang untuk menggunakan dana IPO bagi pengambilalihan lebih banyak tanah, antara lain, menurut draf prospektus yang diterbitkan pada Oktober 2024. 

 

Sebahagian daripada hasil itu juga akan digunakan sebagai modal kerja bagi fasa pembangunan perumahan baharu di Kedah dan Selangor yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM210 juta.

 

Tawaran untuk jualan sempena IPO itu juga akan mengumpul dana untuk Pengerusi Eksekutif, Datuk Yap Pit Kian, yang akan menjual sebahagian saham miliknya.

 

Hong Leong Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, pengatur dan penaja jamin bagi IPO ini, manakala Sierac Corporate Advisers merupakan penasihat kewangan.- DagangNews.com