SPB Development meterai perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment menjelang IPO di Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPB Development meterai perjanjian taja jamin dengan Hong Leong Investment menjelang IPO di Pasaran Utama

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 7 April – SPB Development Berhad telah menandatangani perjanjian penjaminan dengan Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.


 
Kumpulan itu menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama pada suku kedua 2025.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan 231.4 juta saham kepada institusi serta 47 juta saham runcit, menerusi perjanjian taja jamin itu, HLIB akan menaja jamin sejumlah 47 juta saham termasuk 18.56 juta saham yang disediakan kepada orang ramai Malaysia dan 28.44 juta saham diperuntukan kepada pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

 

Sebahagian besar daripada hasil IPO akan diperuntukan untuk pemerolehan bank tanah untuk mengembangkan atau menambah simpanan tanahnya untuk projek pembangunan masa depan dan/atau perbelanjaan pembangunan.

 

Kumpulan menyasarkan untuk memperoleh bank tanah strategik yang terletak berhampiran kawasan perindustrian yang mantap dan pusat ekonomi utama pada harga yang berpatutan. Selain itu, sebahagian daripada hasil akan disalurkan ke dalam modal kerja untuk memudahkan perkembangan akan datang.

 

"Kumpulan juga merancang untuk melabur dalam pembelian sistem acuan aluminium untuk projek pembangunannya yang akan datang di Banting, Selangor dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

 

"Pelaburan berterusan dalam teknologi acuan aluminium sejajar dengan komitmen kumpulan terhadap Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang pertama kali diguna pakai pada 2019, yang meningkatkan kecekapan pembinaan, mengurangkan pembaziran bahan dan meningkatkan kualiti binaan secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SPB Development, Datuk Jacky Yap berkata, IPO itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan, membolehkan pihaknya mengembangkan bank tanah dan memacu pembangunan masa depan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumah mampu milik dan direka dengan baik.

 

"Dengan rekod prestasi yang terbukti selama lebih 30 tahun, kami yakin dengan keupayaan kami untuk terus menyampaikan hartanah berkualiti tinggi kepada pelanggan kami," katanya.- DagangNews.com