KUALA LUMPUR 8 Okt - SP Setia Berhad menerusi Setia EcoHill Sdn Bhd, memeterai perjanjian usaha sama dengan syarikat pelaburan hartanah Jepun, Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd, bagi membangunkan projek kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion di Setia Ecohill, Semenyih.
Perjanjian itu membawa kepada penubuhan Setia MF EcoHill Sdn Bhd, yang akan melaksanakan projek di atas tanah seluas 45.73 hektar merangkumi 683 unit banglo, rumah separuh berkembar dan kluster, yang bakal dilancarkan secara berfasa bermula tahun 2026.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, kerjasama itu akan memperkukuh profil dan daya tarikan Setia EcoHill, bukan sahaja kepada pembeli tempatan tetapi juga pelabur asing.
“Kami berbesar hati mengumumkan kerjasama penting antara Setia dan Mitsui Fudosan bagi pembangunan baharu di Setia EcoHill. Kami yakin kerjasama ini akan meningkatkan nilai dan pasaran projek ini dengan peluang penjenamaan bersama serta perkongsian kepakaran teknikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selepas kejayaan kolaborasi pertama di Setia Federal Hill pada Disember 2023, SP Setia kini komited untuk memperkukuh hubungan jangka panjang bersama Mitsui Fudosan.

“Kami akan terus menumpukan perhatian kepada pembangunan di koridor Semenyih dan Bangi, seiring dengan strategi pengurusan bank tanah kumpulan,” katanya.
Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia, Masayoshi Saito berkata, kerjasama itu sebagai projek kediaman bertanah pertama syarikat Jepun itu di Malaysia, menandakan pencapaian penting dalam pengembangan globalnya.
“Kami berbesar hati meneruskan kerjasama dengan SP Setia. Dengan gabungan kepakaran kedua-dua pihak, kami berhasrat menyediakan kediaman berkualiti yang menyumbang kepada komuniti mampan dan berkembang di Setia EcoHill,” katanya.
Mitsui Fudosan, yang diasaskan pada 1673 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Saham Tokyo, merupakan syarikat hartanah nombor satu Jepun dari segi hasil dan keuntungan. Antara projek ikoniknya ialah Kasumigaseki Building, pencakar langit pertama Jepun, Mita Tsunamachi Park Mansion, serta Tokyo Disneyland.
Sejak pelancarannya pada 2013, Setia EcoHill berkembang sebagai komuniti mampan di atas tanah seluas 272.35 hektar dengan GDV keseluruhan RM5 bilion, merangkumi pembangunan kediaman, komersial serta kemudahan utama seperti sekolah antarabangsa, Club 360, EcoHill Taipan dan Setia EcoHill Walk.
Projek itu berjaya menarik pembeli dari Ampang, Cheras, Kajang, Seri Kembangan, Puchong, Putrajaya, Nilai dan Seremban, menjadikannya hab pertumbuhan utama di koridor Semenyih–Bangi.
Dari segi aksesibiliti, kawasan itu dihubungkan melalui rangkaian lebuh raya utama seperti PLUS, SILK, LEKAS dan SKVE, menjadikannya antara lokasi kediaman paling strategik di Lembah Klang Selatan.- DagangNews.com








