KUALA LUMPUR 25 Sept - Pemaju hartanah, SP Setia Berhad terus memberi fokus kepada segmen hartanah perindustrian dengan sasaran jangka panjang untuk menjana 30% pendapatan daripada projek baharu.
MBSB Research berkata, langkah itu menandakan strategi kumpulan bagi mempelbagaikan sumber pendapatan di luar pembangunan kediaman dan perbandaran selain memanfaatkan permintaan dalam aset perindustrian moden.
Katanya, antara projek perindustrian utama syarikat termasuk Setia Alaman Industrial Park di Bukit Raja, Setia Fontaines Industrial Park di Pulau Pinang, serta Tanjung Kupang Industrial Park di Johor.
Firma penyelidikan itu berkata, Setia Alaman Industrial Park, yang dibangunkan di atas tanah seluas 161.5 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion, telah menyumbang RM859 juta jualan sejak 2023, dengan RM319 juta jualan dalam perancangan bagi tahun kewangan 2025 (FY25), kebanyakannya melalui penjualan tanah.
"Kumpulan itu turut bekerjasama dengan Ally Logistic Property Co Ltd dari Taiwan untuk membangunkan sebuah kampus gudang pintar di Setia Alaman Industrial Park dengan GDV bernilai RM2.5 bilion.
"Projek gudang tersebut akan menggunakan model bina-untuk-pajakan dan dijangka memulakan pembinaan pada FY25. Setelah siap, ia dijangka menyumbang kepada pendapatan berulang bagi kumpulan dan berpotensi untuk dimasukkan ke dalam REIT pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian.
MBSB Research berkata, pihak pengurusan menegaskan kelestarian kekal sebagai teras dalam pengembangan segmen perindustrian syarikat.
Katanya, Setia Alaman Industrial Park direka bentuk sebagai taman perindustrian hijau, yang merangkumi ciri-ciri seperti panel solar di bumbung, sistem penuaian air hujan, klausa pajakan hijau, kesiapsiagaan pendinginan daerah, rawatan air sisa berteknologi tinggi, serta penggunaan bahan binaan rendah karbon.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah agresif SP Setia ke arah pembangunan perindustrian adalah tepat pada masanya memandangkan permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan logistik dan perkilangan moden di Malaysia, didorong penstrukturan semula rantaian bekalan dan trend “nearshoring” di rantau ini.
“Dengan strategi yang jelas, rakan kongsi yang kukuh dan pendekatan berasaskan kelestarian, SP Setia sedang meletakkan dirinya dirinya sebagai pemain utama dalam sektor hartanah perindustrian, sekali gus menyediakan asas pendapatan yang lebih stabil di samping pembangunan perbandaran sedia ada,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.26 sesaham.- DagangNews.com








