KUALA LUMPUR 21 Ogos – SP Setia Bhd menandatangani terma kerjasama utama dengan Ally Logistic Property Co Ltd dari Taiwan untuk membangunkan kompleks gudang pintar di Taman Perindustrian Setia Alaman di Klang.
Perkongsian strategik itu melibatkan pembangunan gudang bina untuk disewa di atas kawasan seluas 16.99 hektar yang terletak kira-kira lima kilometer dari Bandar Setia Alam.
Taman Perindustrian Setia Alaman adalah sebahagian daripada pelan induk tapak perindustrian eko SP Setia dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sehingga RM4 bilion.
Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, projek tersebut adalah kerjasama pertama syarikat dengan ALP, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap penciptaan nilai jangka panjang, inovasi dan kelestarian.
“Pembangunan itu akan menampilkan dua gudang pintar dilengkapi dengan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik untuk logistik rantaian sejuk berteknologi tinggi dan penyimpanan ambien berkecekapan tinggi.
“Secara keseluruhan, ia akan menyediakan keluasan lantai kira-kira 1.5 juta kaki persegi dengan kapasiti 150,000 lokasi palet,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kerjasama itu membolehkan SP Setia membina ekosistem industri berdaya saing masa depan yang mampu menarik penyewa serantau dan antarabangsa.
“Selepas ini, sektor perindustrian akan menjadi tonggak pertumbuhan baharu kepada Setia,” katanya.
Projek infrastruktur gudang pintar itu dijangka melahirkan ekosistem industri moden, sekali gus menarik penyewa serantau dan antarabangsa yang terlibat dalam teknologi perindustrian serta logistik.
Sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian portfolio dan pendorong pertumbuhan keuntungan berterusan, SP Setia merancang membangunkan kira-kira 404.7 hektar tanah simpanannya untuk tujuan perindustrian.
Projek-projek tersebut dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap taman perindustrian berkonsep hijau dan infrastruktur logistik, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil serta keuntungan kumpulan itu.
Sementara itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ALP, Charlie Chang berkata, kerjasama dengan SP Setia adalah langkah penting ke arah penyediaan infrastruktur logistik generasi baharu di Malaysia.
“Kami mahu memanfaatkan kepakaran kami dalam hartanah logistik dan teknologi dalaman untuk menawarkan penyelesaian pintar sehenti melalui platform teknologi kami,” katanya.
Ditubuhkan pada 2014, ALP merupakan pemaju dan pengendali gudang pintar terkemuka di Asia yang mengkhususkan dalam gudang automatik serta integrasi sistem.
Syarikat itu menyokong pelanggan bertaraf tinggi dalam sektor e-dagang, barangan pengguna bergerak pantas dan penyedia logistik pihak ketiga. - DagangNews.com








