KUALA LUMPUR 9 Dis – Southern Score Builders Berhad, melalui anak syarikat milik 51%, Southern JE Electrical Engineering Sdn Bhd (SJEE), meraih subkontrak bernilai RM9,781,141.00 bagi kerja-kerja elektrik untuk sebuah projek pusat data.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Southern Score berkata SJEE telah menerima surat anugerah (LOA) daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan pada 9 Disember 2025.
Skop kerja melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan, penyelenggaraan serta jaminan bagi pakej kerja elektrik untuk projek pusat data tersebut.
Projek ini hendaklah bermula pada 1 Oktober 2025 dan dijangka siap pada 1 Disember 2026.
Southern Score berkata penerimaan LOA itu tidak memberi kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat, serta tidak memberi kesan segera kepada aset bersih sesaham dan tahap gearan kumpulan.
Bagaimanapun, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih serta pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya sehingga projek siap.
Menurut syarikat, risiko yang terlibat adalah risiko operasi biasa yang lazim bagi projek seumpamanya dan pihak pengurusan akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan sebarang risiko yang berpotensi timbul.
Southern Score turut memaklumkan tiada pengarah atau pemegang saham utama serta individu berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
Lembaga pengarah berpandangan projek ini adalah dalam urusan biasa perniagaan SJEE dan selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan, serta tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia. - DagangNews.com








