KUALA LUMPUR 2 Sept - Southern Score Builders Berhad menerusi SJEE Engineering Sdn Bhd menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM102.68 juta daripada pelanggan A bagi melaksanakan kerja-kerja subkontrak elektrikal berskala besar.
Di bawah perjanjian tersebut, SJEE akan bertindak sebagai subkontraktor bagi kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan, penyelenggaraan serta jaminan bagi projek berkenaan.
"Kerja-kerja itu telah bermula pada 14 April 2025 dan dijadualkan siap pada suku keempat tahun 2026," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Southern Score Builders berkata, harga kontrak RM102.68 juta adalah jumlah tetap yang merangkumi semua cukai semasa dan masa hadapan, duti, levi dan caj lain yang dikenakan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Identiti pelanggan A tidak dapat didedahkan berikutan kewujudan perjanjian tidak pendedahan (NDA), namun syarikat itu disahkan berdaftar di Malaysia dan terlibat terutamanya dalam aktiviti pembinaan bangunan serta kerja-kerja pemasangan berkaitan.
Syarikat itu menegaskan, kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham atau struktur pegangan saham Southern Score Builders. Namun begitu, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya sehingga projek selesai.
Penganugerahan subkontrak ini sekali gus mengukuhkan lagi senarai projek Southern Score Builders serta menekankan peranan syarikat dalam menyokong projek pembinaan dan infrastruktur utama di Malaysia.- DagangNews.com








