KUALA LUMPUR 15 Mei - Syarikat tersenarai di Pasaran ACE, Southern Score Builders Berhad (SSBB), dijangka meraih lebih banyak projek pembinaan bernilai tinggi selepas mengambil alih 51% saham dalam SJEE Engineering Sdn Bhd.
Projek-projek itu termasuk pembinaan hospital, pusat data dan kilang ubat-ubatan.
Dengan pengambilalihan tersebut, SSBB bukan sahaja terlibat dalam kerja pembinaan, tetapi juga akan menguruskan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pengambilalihan SJEE yang berlaku pada Januari 2025, membantu SSBB terlibat dalam lebih banyak projek M&E yang mempunyai margin keuntungan lebih tinggi.
Katanya, SJEE sebelum ini memberi tumpuan kepada kejuruteraan elektrik, tetapi kini lebih tertumpu kepada projek pusat data dengan lapan projek yang sedang dilaksanakan.
"SSBB kini sedang membida projek pusat data bernilai RM450 juta, yang dikendalikan syarikat dari Amerika Syarikat (AS).
"Setakat ini, SSBB sudah menyiapkan enam projek pusat data dan baru sahaja mendapat satu lagi projek bernilai RM51 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd," kata Maybank IB dalam satu laporan.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada pengambilalihan berkenaan, SJEE dijangka menjana keuntungan sekurang-kurangnya RM15 juta selepas cukai dalam tempoh tiga tahun.
Maybank IB juga menyatakan, SSBB berbeza daripada syarikat pembinaan biasa kerana ia bukan sahaja berperanan sebagai kontraktor utama, tetapi juga kontraktor reka dan bina (turnkey), yang biasanya beri keuntungan lebih tinggi.
"Untuk separuh pertama tahun kewangan FY25, SSBB mencatat margin keuntungan operasi 31% dan keuntungan bersih 23%, jauh lebih tinggi daripada purata industri iaitu sekitar 7.5% dan 4.8%.
"SJEE mempunyai kepakaran dalam sistem bekalan elektrik untuk kilang, bangunan perniagaan dan tempat komersial. Kini, syarikat turut mengurus infrastruktur kabel untuk pusat data," jelasnya.
Setakat akhir tahun 2024, SSBB mempunyai buku pesanan sebanyak RM1.3 bilion, dengan RM500 juta lagi dalam proses bidaan dan RM500 juta lagi dalam perbincangan langsung.
Maybank IB menjangka, jika semua hasil projek pembinaan dapat direkodkan dalam tempoh tiga tahun dan SJEE berjaya menyiapkan projek bernilai RM150 juta, SSBB boleh mencapai pendapatan sebanyak RM482 juta dan untung bersih RM71 juta pada FY26.
Ini bermakna nilai saham SSBB dijangka didagangkan pada kadar 15 kali ganda keuntungan setahun, lebih tinggi berbanding purata industri pembinaan iaitu 13.6 kali.
Maybank IB juga berkata, antara sebab utama SSBB berpotensi tinggi ialah margin keuntungan yang lebih besar, pulangan pelaburan yang tinggi iaitu 21% pada FY24 berbanding hanya 4% dalam industri dan penglibatan dalam projek pusat data bernilai tinggi.
"Untung bersih RM71 juta yang dijangka untuk FY26 juga adalah 91% lebih tinggi daripada anggaran untung bersih RM37 juta untuk FY25," ujarnya. - DagangNews.com








