KUALA LUMPUR 9 April - Southern Cable Group Bhd diyakini mencatatkan prestasi lebih baik pada FY25 didorong peningkatan prospek permintaan daripada sektor swasta, syarikat utiliti dan perkembangan pusat data.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, peningkatan permintaan untuk kabel 132kV dijangka mengatasi kabel kuasa lain, seperti 11kV dan 33kV, disebabkan projek yang kukuh daripada pengendali pusat data dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada FY25.
Katanya, sebagai antara tiga pengeluar kabel 132kV di Malaysia, sebahagian besar jualan daripada kabel 132kV ditetapkan untuk meningkatkan margin kumpulan pada FY25.
"Sementara itu, penghantaran ke pasaran Amerika Syarikat (AS) telah mencecah 35 hingga 40 kontena pada 4QFY24, dengan syarikat itu menyasarkan untuk mengembangkan lagi kepada sekitar 50 kontena setiap suku bermula dari 2QFY25.
"Pertumbuhan ini didorong oleh pengembangan kapasiti dan pengkomersialan kabel USE-2 untuk pelanggan AS pada suku kedua 2025, ini menandakan kabel kedua yang diperakui yang akan dieksport oleh kumpulan itu ke pasaran AS," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan perkembangan itu, pihak pengurusan menyasarkan jualan RM100 juta daripada pelanggan AS, peningkatan daripada jualan setahun penuh FY24 sebanyak RM48 juta.
Katanya, sekiranya berlaku potensi kelembapan dalam tempahan disebabkan pengumuman tarif timbal balik AS, kumpulan itu memberi jaminan jentera yang dilaburkan masih boleh digunakan untuk menghasilkan kabel khusus Malaysia, walaupun dengan margin yang lebih rendah.
HLIB berkata, sebagai tambahan kepada pemangkin yang dinyatakan sebelum ini seperti projek LSS5, LSS5+ dan LSS6 yang akan datang dijangka memberikan rangsangan yang ketara kepada jualan kabel kumpulan.
Katanya, dengan kapasiti yang kukuh, projek-projek ini menawarkan jalan untuk pertumbuhan.
"Dengan mengandaikan LSS6 sepadan dengan kapasiti LSS5 dan LSS5+, gabungan kuota 6GW daripada projek ini akan mengatasi 4GW ESA TNB untuk pusat data.
"Peningkatan projek LSS akan memacu permintaan untuk kedua-dua kabel kuasa am (untuk menyambung ke grid) dan kabel solar (untuk menghubungkan penyongsang dan panel solar)," katanya.
Firma penyelidikan tu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang saranan tetapi memberikan harga sasaran (TP) RM1.55 sesaham. - DagangNews.com








