Southern Cable Bhd sasar kumpul RM259.2 juta melalui penempatan persendirian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Cable Bhd sasar kumpul RM259.2 juta melalui penempatan persendirian

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt – Southern Cable Group Bhd bercadang untuk mengumpul sehingga RM259.2 juta melalui penempatan persendirian bagi membiayai perbelanjaan modal, mengembangkan operasi perniagaan dan modal kerja.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, ia akan menerbitkan sehingga 120 juta saham baharu, bersamaan 10% daripada jumlah saham selepas penempatan. 

 

“Harga saham baharu ditetapkan pada RM2.16 sesaham, 10% lebih rendah daripada harga purata lima hari terakhir sebanyak RM2.3977

 

“Daripada hasil penempatan, RM129 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal dan operasi syarikat termasuk kerja pembinaan dan pengubahsuaian berhampiran kilang di Kuala Ketil, Kedah, pemerolehan gudang serta pembelian mesin. 

 

“Selain itu, RM5.1 juta pula akan digunakan untuk menyelesaikan baki pembayaran tanah perindustrian yang diperoleh pada Julai lepas,” kata syarikat itu.

 

Baki dana akan digunakan untuk modal kerja, pembayaran balik pinjaman dan perbelanjaan penempatan.

 

Southern Cable mensasarkan peningkatan pengeluaran kabel dan wayar sebanyak 25% serta pengeluaran rod aluminium tiga kali ganda menjelang akhir 2027 bagi memenuhi permintaan daripada sektor utiliti, tenaga boleh diperbaharui dan pembinaan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusannya Tung Eng Hai berkata, untuk mencapai aspirasi pertumbuhan jangka panjang kami, Southern Cable juga sedang meningkatkan pendapatan luar negara, dengan sasaran ia menyumbang 30% daripada jumlah pendapatan syarikat dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

“Dana yang diperoleh akan mengukuhkan keupayaan pembuatan kami dan menyokong visi kami untuk menjadi pengeluar kabel dan wayar bersepadu terkemuka di rantau ini,” katanya.

 

RHB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama dan ejen penempatan tunggal bagi penempatan persendirian tersebut. - DagangNews.com