Solarvest, Pekat dijangka nikmati kelebihan utama sektor RE melalui projek LSS, BESS serta Solar ATAP – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest, Pekat dijangka nikmati kelebihan utama sektor RE melalui projek LSS, BESS serta Solar ATAP – Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan – Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia dijangka terus berkembang pada 2026 dengan tumpuan utama terhadap projek tenaga solar berskala besar (LSS) serta integrasi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), menurut Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap pemain solar PV, dengan Solarvest Holdings Bhd disenaraikan sebagai pilihan utama sektor manakala Pekat Group Bhd turut diberikan liputan baharu dengan saranan beli. 

 

Maybank IB berkata Solarvest dijangka terus menjadi penerima manfaat utama daripada pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar, memandangkan syarikat ini menguasai 30% pasaran projek solar utiliti di negara ini.

 

“Projek-projek berskala utiliti termasuk LSS6, CRESS dan MyBeST dijangka menjadi fokus utama pada 2026. 

 

“Program MyBeST, yang merupakan program BESS berskala grid, akan membolehkan penyimpanan tenaga solar yang dihasilkan pada waktu siang untuk digunakan semasa permintaan puncak. 

 

“Program BESS lain seperti Solar ATAP, CRESS dan LSS6 akan memperkukuh integrasi bateri, sekali gus membuka peluang kepada pemain RE untuk membina rekod prestasi unik dalam reka bentuk dan integrasi BESS,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

t

 

Sektor RE dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 24.2% pada 2026, didorong oleh pelaksanaan EPCC untuk projek LSS5, LSS5+, MyBeST dan CRESS, serta pemulihan permintaan solar bumbung kediaman melalui program Solar ATAP.

 

Maybank IB berkata penilaian sektor RE kekal menarik dengan nisbah P/E hadapan 22 kali bagi 2026, hampir selaras dengan purata lima tahun sektor tersebut.

 

“Selain itu, program LSS6 yang dijadualkan dibuka untuk bidaan pada 2026 akan menyediakan kuota 2GW untuk projek solar berskala besar, menggantikan NEM 3.0 dan dijangka menyumbang kepada peluang EPCC bernilai antara RM18- billion hingga RM20 bilion dari 2025 hingga 2027. 

 

“Program CRESS pula membolehkan pengguna tenaga korporat membeli tenaga hijau secara langsung melalui sistem akses grid terbuka, dengan caj akses sistem (SAC) semasa ditetapkan pada 40 sen/kWh untuk bekalan bukan tetap dan 20 sen/kWh bagi sumber bekalan tetap termasuk solar + BESS, biojisim dan biogas,” kata Maybank IB.

 

Di Malaysia Timur, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 10GW menjelang 2030 dengan 60% dijangka daripada tenaga boleh diperbaharui. 

 

Sabah pula mensasarkan 35% kapasiti daripada RE menjelang 2030, memanfaatkan potensi tenaga solar setinggi 4GW dan hidro 1GW. 

 

t

 

Projek LSS berskala besar di Sabah menyaksikan 15 projek dengan kapasiti keseluruhan 199MW berjaya dianugerahkan kepada syarikat tempatan dan beberapa pemaju besar.

 

Dalam segi prestasi kewangan, Solarvest memiliki buku pesanan terbesar di antara pemain solar EPCC yang tersenarai, dengan nilai RM1.6 bilion dan jangkaan pertumbuhan pendapatan teras sebanyak 24.4% pada 2026. 

 

Pekat pula dijangka mendapat manfaat daripada peluang signifikan dalam inisiatif solar Malaysia, peningkatan infrastruktur grid TNB dan pertumbuhan pelaburan pusat data, manakala BM Greentech berpotensi memperoleh keuntungan daripada pengenalan Solar ATAP bagi merangsang semula permintaan solar bumbung kediaman.

 

Pada 2026, harga modul solar dijangka stabil sekitar AS$0.10-0.11 per watt selepas kos polysilicon meningkat kepada AS$6.5/kg. 

 

Dengan kapasiti pengeluaran global mencapai 1.5TW berbanding permintaan tahunan 693GW, sebarang lonjakan harga yang ketara dilihat tidak mungkin berlaku.

 

Maybank IB menekankan risiko sektor termasuk perubahan dasar kerajaan, persaingan pasaran dan ketidaktentuan harga bahan mentah, sementara risiko potensi termasuk pelaksanaan projek lebih cepat daripada jangkaan atau kuota program RE yang lebih tinggi daripada dijangka. - DagangNews.com