Projek tenaga hijau 1.5GW pacu pertumbuhan jangka panjang Solarvest, buka nilai buku tempahan RM3 bilion - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek tenaga hijau 1.5GW pacu pertumbuhan jangka panjang Solarvest, buka nilai buku tempahan RM3 bilion - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Solarvest Holdings Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor tenaga hijau negara selepas memulakan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) berkapasiti 1.5GW hasil kerjasama strategik dengan gergasi pelaburan global, Brookfield CTF Asia Holdings.

 

Maybank Investment Bank berkata, kerjasama yang dimeterai sebelum ini dilihat sebagai pemangkin utama pertumbuhan jangka panjang Solarvest, dengan potensi membuka nilai buku tempahan efektif mencecah RM3 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Katanya, kerjasama itu menggabungkan kepakaran mendalam Solarvest dalam membangunkan projek RE di Malaysia dengan rangkaian global Brookfield.

 

“Kerjasama ini merupakan kombinasi terbaik antara keupayaan teknikal tempatan dan kekuatan pelaburan antarabangsa,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Brookfield ketika ini aktif menjalin hubungan dengan syarikat teknologi gergasi dunia seperti Microsoft, Google dan Amazon, yang sedang memperluaskan pelaburan tenaga hijau mereka di Asia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Solarvest-Brookfield meterai Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan Bersama bangunkan projek tenaga boleh diperbaharui 1,500 MWp

 

Melalui hubungan ini, Solarvest dijangka berpeluang membangunkan aset RE di bawah program CRESS, dengan projek pertama dijangka dimuktamadkan pada tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Firma penyelidikan itu berkata, Solarvest dijangka menikmati dua aliran pendapatan serentak daripada pelaksanaan projek 1.5GW itu termasuk pendapatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi bahagian projek yang tidak dimiliki syarikat.

 

Selain itu, kumpulan itu juga akan meraih pendapatan berulang sebagai pemilik aset RE.

 

Katanya, berdasarkan anggaran kos EPCC sebanyak RM3.8 juta bagi setiap MWac termasuk sistem penyimpanan tenaga (BESS), projek 1.5GW itu berpotensi menjana nilai kontrak kira-kira RM3 bilion bagi tempoh lima tahun.

 

"Sebagai pemilik aset tenaga, Solarvest dijangka mencatatkan pulangan dalaman (IRR) antara 9% hingga 10% bagi projek di bawah program CRESS — lebih tinggi berbanding IRR 7% hingga 8% bagi projek Projek Solar Skla Besar (LSS) tradisional.

 

"Perbezaan ini didorong oleh kadar tarif lebih menarik daripada pembeli tenaga voltan ultra tinggi (UHV), yang menjadikan pelaburan tenaga boleh baharu lebih menguntungkan dalam jangka panjang," katanya.

 

Maybank IB berkata, pelancaran projek 1.5GW ini akan memberi impak positif terhadap pertumbuhan pendapatan Solarvest dalam tahun kewangan 2026 dan seterusnya disokong buku tempahan kukuh sedia ada sebanyak RM1.2 bilion dan peluang baharu di bawah program LSS5 dan LSS5+.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com