KUALA LUMPUR 8 Sept - Solarvest Holdings Berhad dijangka membiayai projek solar berskala besar LSS PETRA 5+ di Perak menerusi struktur pembiayaan nisbah hutang-ekuiti 80:20, sekali gus mengehadkan aliran keluar tunai awal kepada kira-kira RM50 juta, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, projek dengan kapasiti terpasang 470MWac, akan dilaksanakan melalui usaha sama dengan Malakoff Corp Berhad dengan Solarvest memegang 20% kepentingan ekuiti.
Firma penyelidikan itu berkata, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan bagi menandatangani perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Struktur pembiayaan ini akan mengurangkan tekanan modal kerja Solarvest, selain membolehkan syarikat menyalurkan sumber kepada peluang pertumbuhan lain, termasuk bidaan untuk projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 400MW/1,600MWh yang dijangka dianugerahkan pada Oktober 2025," kataya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Solarvest, Malakoff menang projek loji solar berskala besar 470MW di Perak
Terdahulu, projek itu dijangka tidak memberikan kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 memandangkan pembangunan dan pelaksanaan projek masih di peringkat awal.
Projek itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Solarvest sebagai pemain utama dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia, selaras dengan agenda negara untuk mempercepatkan peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon.
Baru-baru ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan sebanyak 13 pemaju telah dipilih sebagai pemenang projek LSS5+ berdasarkan tawaran harga yang kompetitif serta pematuhan terhadap kriteria yang ditetapkan dalam dokumen permintaan cadangan (RFP).
Sementara itu, Maybank IB juga menjangkakan, projek itu akan mula menyumbang pendapatan usaha sama tahunan sekitar RM11 juta selepas siap menjelang suku keempat 2027, di samping nilai kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada Solarvest.
Langkah ini, katanya, mengukuhkan trajektori pendapatan jangka panjang Solarvest dengan gabungan aliran tunai berulang daripada pemilikan aset serta pendapatan EPCC yang lebih bersifat sekali gus.
Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya kekal positif terhadap prospek Solarvest, disokong faktor dasar yang menguntungkan daripada LSS5+ dan perjanjian pembelian tenaga korporat, keterlihatan lebih tinggi terhadap aliran kerja serta langkah strategik syarikat untuk beralih kepada pemilikan projek di samping pengembangan serantau. - DagangNews.com








