KUALA LUMPUR 8 Sept – SME Corp Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan platform pembiayaan P2P patuh Syariah, microLEAP, bagi melaksanakan Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025 yang menawarkan dana keseluruhan bernilai RM35 juta kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Program itu menyediakan pembiayaan sehingga RM400,000 dengan kadar keuntungan kompetitif 3.5% setahun, di mana sehingga 40% daripada jumlah berkenaan boleh ditukar kepada geran, tertakluk kepada kelulusan SME Corp Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam menyediakan sokongan pembiayaan yang lebih inklusif dan inovatif untuk PKS.
“Program ini bukan sekadar memberi akses kepada modal, tetapi turut memberi ganjaran kepada disiplin kewangan dan pertumbuhan perniagaan.
“Dengan penukaran sehingga 40% kepada geran, kita bukan sahaja meringankan beban bayaran balik, malah melabur secara langsung dalam masa depan PKS berpotensi tinggi di Malaysia.
“Langkah ini seiring sasaran SME Corp untuk meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6% ketika ini kepada 5% menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak 2021, SME Corp dan microLEAP telah menyalurkan dana berjumlah RM70 juta termasuk peruntukan baharu ini, sekali gus membuktikan hubungan kerjasama yang semakin matang.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, YM Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, pihaknya percaya pembiayaan tidak seharusnya terlalu membebankan dengan syarat cagaran atau akaun beraudit.
“Jika syarikat menjana hasil, berkembang dan mampu membayar balik, kami akan menyokong mereka.
“Melalui kerjasama dengan SME Corp, kami menawarkan produk yang bukan sahaja mudah diakses dan mampu milik, malah memberi ganjaran kepada disiplin kewangan yang baik,” ujarnya.
Program ini meliputi pembiayaan bagi modal kerja dan penambahbaikan perniagaan termasuk pembelian mesin serta peralatan, penerapan ESG, pensijilan produk, promosi dan pengiklanan, serta pembangunan ICT.
Hanya PKS dengan rekod pembayaran balik yang baik layak memohon penukaran geran sehingga 40% daripada jumlah pembiayaan.
PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan mewakili lebih 96% daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.
Namun begitu, ramai usahawan masih berdepan kekangan mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan tradisional.
Kerjasama SME Corp dan microLEAP menerusi skim ini dijangka mampu merapatkan jurang tersebut, selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan PMKS tempatan berkembang lebih jauh. - DagangNews.com








