KUALA LUMPUR 18 Dis – Smartsel Sdn. Bhd, syarikat infrastruktur digital milik Kerajaan Negeri Selangor memulakan Projek Fiberisasi Cyberjaya bagi membangunkan 41.1 kilometer infrastruktur gentian optik bawah tanah berkapasiti tinggi.
Projek ini merupakan langkah pertama ke arah penubuhan Selangor Dark Fiber Network, rangkaian gentian optik milik negeri yang bersifat terbuka dan neutral.
Smartsel bekerjasama dengan OCK Group Berhad dan anak syarikatnya, OCK Datawave Sdn. Bhd bagi pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan infrastruktur gentian optik.
Projek ini akan dilaksanakan dalam empat fasa dengan kapasiti sehingga 864 teras gentian setiap kabel dan dijangka disewa kepada pusat data, syarikat dan operator berlesen yang memerlukan sambungan berkelajuan tinggi.
Projek Fiberisasi Cyberjaya menjadi asas kepada usaha Selangor untuk menyediakan infrastruktur digital berkualiti tinggi bagi menyokong pembangunan pusat data, industri berintensif data, pelaburan bernilai tinggi dan perkhidmatan awam berasaskan teknologi.
Smartsel dan OCK turut merancang kerjasama strategik dalam lima bidang utama, termasuk pembangunan menara dan rangkaian 5G, operasi rangkaian, platform digital, aplikasi awam, serta penggunaan tenaga hijau dan teknologi lestari bagi menyokong agenda Digital Selangor.
Pelancaran projek dan pertukaran dokumen kerjasama disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama wakil Smartsel dan OCK.
Dalam pada itu, Amirudin berkata projek ini adalah langkah strategik yang memerlukan komitmen semua pihak untuk memperkukuh daya saing Selangor sebagai hab ekonomi dan digital masa depan.
“Projek Fiberisasi Cyberjaya merupakan langkah pertama inisiatif strategik negeri yang memerlukan komitmen kuat dan sokongan bersama daripada semua pihak.
“Kerajaan Negeri Selangor, bersama agensi dan anak syarikatnya, mesti bergerak seiring untuk memastikan pembangunan infrastruktur digital ini dilaksanakan dengan berkesan bagi memperkukuh daya saing Selangor sebagai hab ekonomi dan digital masa depan,” katanya.
Dengan termeterainya perjanjian itu, Smartsel akan bekerjasama dengan OCK Datawave Sdn. Bhd. bagi membangunkan dan mengendalikan 41.1 kilometer infrastruktur gentian optik bawah tanah di Cyberjaya.
Projek ini akan dilaksanakan melalui pembinaan saluran polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dan kabel gentian optik merangkumi empat fasa pembangunan, dengan kapasiti keseluruhan sehingga 864 teras gentian bagi setiap kabel.
OCK akan memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya dalam pelaksanaan gentian dan penyambungan rangkaian untuk membiayai serta melaksanakan projek ini, menggunakan model perkongsian hasil bersama Smartsel.- DagangNews.com








